“Kenapa Perlu Saya Bazir Duit Untuk Orang Yang Tak Hargai Apa Saya Buat?” – TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ada banyak perkara yang membuatkan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) ‘makan hati’ dengan penyokong pasukan itu, lantas membuatkan beliau sedang berkira-kira untuk meninggalkan pasukan.

Tunku Ismail mengakui kecewa dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang bagaikan tidak menghargai segala pengorbanan yang dilakukan dalam menaikkan skuad Harimau Selatan sebagai gergasi bola sepak tanah air.

Sambil menegaskan beliau bukan mahu mencari publisiti dengan cerita mahu ‘angkat kaki’ menyerahkan pasukan kepada orang lain, Tunku Ismail berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dan beliau perlu berehat sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Saya tak perlukan populariti kerana saya sudah popular. Saya pernah berbincang untuk meninggalkan bola sepak pada 2018 bukan kerana benda itu memakan masa dan kekangan kewangan tetapi saya rasa duit saya sendiri perlu diutamakan untuk jaminan kewangan anak cucu-cicit saya.

“Kadang-kadang kita sebagai manusia perlu rasa dihargai. Terus terang saya cakap selepas perlawanan Liga Juara Juara Asia (ACL), saya rasa lain sebab saya rasa penyokong JDT sudah lupa dari mana kita datang, apa itu kejayaan dan di mana kita berada hari ini jika dibandingkan pada mula dahulu.

“Apabila awak lupa benda ini, awak akan ada sikap tidak bersyukur. Setiap perjalanan, menang kalah belakang kira tetapi lihatlah kejayaan dan pembangunan yang ada dan itu yang harus dibanggakan, kita kena hargai.

“Apabila kita tidak boleh hargai benda positif itu, saya pun cakap pada diri sendiri kenapa saya nak membazir duit untuk orang yang tak hargai benda ini.

“Tetapi disebabkan ada pendatang baharu dalam atmosfera baharu yang memberi cabaran, saya tak boleh nampak macam saya nak lari, jadi saya perlu teruskan untuk buktikan yang saya adalah yang terbaik dalam perkara ini,” kata TMJ menerusi rancangan¬†[email protected] pada Isnin.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut mempersoalkan segelintir penyokong yang sering kali mengutarakan cadangan supaya menukar barisan kejurulatihan setiap kali pasukan itu gagal meraih keputusan positif dalam perlawanan yang diharungi.

“Sikit-sikit tukar jurulatih kalau kalah, seri pun minta tukar jurulatih. Kalau jurulatih yang dah menang tiga gelaran, kenapa nak tukar? Kena tukar sebab JDT main ACL dan tahap permainan lain. Apa yang awak tahu pasal tahap? Awak datang dari industri bola sepak?

“Saya tahu apa yang kita perlukan. Kita pun pernah kalahkan pasukan di ACL, jadi itu menunjukkan yang gaya permainan, falsafah dan jurulatih kita sesuai dengan pasukan. Kalau kereta sedang berjalan dengan baik di lebuh raya, jangan berhenti di tepi jalan untuk menukar enjin.

“Kalau (penyokong) tak boleh terima kekalahan JDT di ACL, ingat JDT ini apa? Manchester United, Manchester City, Barcelona? Kita kena ingat kita bukan pasukan yang besar di ACL.

“Kita bukan Al-Ahly, Al-Hilal atau kelab Jepun. Kita adalah pasukan kecil jika hendak dibandingkan mereka yang sudah pun bertahun lamanya melakukan projek yang kita mahu lakukan di JDT.

“Kalau saya tak menang apa-apa piala, awak (penyokong) tak percaya, saya boleh faham. Awak sudah menang 18 piala. Bukan setakat kejayaan dalam padang tetapi pembangunan, infrastruktur paling mantap dalam negara dan skuad pembangunan kita ada pun 10 trofi,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.