“Kenapa salahkan saya atas kecuaian pegawai MSN?”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pelari pecut negara, Haiqal Hanafi berang apabila dituduh tidak peka dengan status dirinya yang positif Covid-19 sehingga boleh terlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Menurutnya dia tidak wajar dipersalahkan secara membuta oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas kecuaian pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak memeriksa email yang memaklumkan bahawa dia positif virus berkenaan.

Disebabkan itu, bukan sahaja Haiqal, tetapi seorang lagi pelari pecut Khairul Hafiz Jantan yang merupakan kontak rapat dengannya tidak dibenarkan untuk terbang ke Kazakhstan bagi mengambil bahagian di Kejohanan Memorial Kosanov sekaligus kedua-dua mereka terlepas peluang terakhir merebut tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya memang tidak puas hati kerana kesilapan orang lain sekarang ini saya dipersalahkan. Mereka tidak menjalankan tanggungjawab dan kini menuding jari kepada saya. Kalau saya tahu saya ada Covid, saya tidak buang masa untuk datang ke Kuala Lumpur,” tegas atlet berusia 21 tahun itu.

Haiqal Hanafi dikatakan dijangkiti virus berkenaan melalui arwah neneknya, yang kali terakhir ditemuinya pada Hari Raya Pertama (13 Jun lalu).

Dia juga terkilan tidak dapat bertemu arwah neneknya buat kali terakhir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, dan mengakui emosi, moral dan semangatnya ketika ini cukup terganggu atas tuduhan dan kritikan yang dilemparkan.

“Sekarang ini arwah nenek saya pula dikaitkan dengan isu ini dan itu yang membuatkan saya lebih marah. Cuba fahami perasaan orang lain dan sebagai badan bertanggunjawab untuk menguruskan atlet, mereka perlu menitikberatkan soal emosi dan persediaan atlet.

“Untuk pengetahuan semua saya juga sudah lengkap divaksin dan sepatutnya jika didapati positif saya tak boleh terima vaksin dalam tempoh tiga bulan. Jadi sekarang siapa patut disalahkan,” kata Haiqal yang mendedahkan tidak mengalami sebarang simptom dan kini sedang menjalani kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Dengan tiket ke Olimpik sudah terlepas, kejohanan besar seterusnya yang tinggal untuk Haiqal Hanafi tahun ini adalah Sukan SEA 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.