Kenapa salahkan TCH, latihan berintensiti tinggi adalah tanggungjawab kelab

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim tidak bersetuju dengan kritikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa pihak pengurusan skuad kebangsaan gagal menyediakan latihan berintensiti tinggi buat pemain negara ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Tunku Ismail menerusi instagram beliau menyelar pengurusan Harimau Malaya kerana berlatih di Dubai seolah-olah pergi bercuti, sehingga menyebabkan pemain-pemain utamanya tidak dapat beraksi pada tahap sebenar sekembalinya ke kem Johor Darul Takzim.

Paling terserlah adalah Safawi Rasid yang sekali lagi menjadi sasaran kritikan penyokong di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menurut Zakaria, penyediaan pemain termasuk mengadakan latihan berintensiti tinggi adalah tanggungjawab kelab masing-masing, dan pemain berisiko besar mengalami kecederaan sekiranya terus ditekan dengan latihan berintensiti tinggi bersama skuad negara.

“Sebenarnya bukan faktor skuad kebangsaan dan juga bukan Tan Cheng Hoe (pengendali negara) tak mahu buat latihan intensiti tinggi. Tapi kena faham, latihan macam itu sepatutnya kelab yang sediakan untuk menyediakan pemain apabila menyertai kem negara.

“Jurulatih negara yang hanya ada tempoh singkat bersama pemain hanya sempat nak susun atau selarikan dari aspek taktikal dan teknikal sahaja, tapi untuk kecergasan sepatutnya kelab yang kena buat.

“Bayangkan dalam masa 25 hari di UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam kelayakan itu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023), mana nak sempat kejar semua benda. Pasukan tempuh lima perlawanan termasuk dua aksi persahabatan, lebih kurang satu aksi seminggu.

“Belum kira perjalanan pemain dan juga waktu rehat. Kita kena ingat, dua hari sebelum perlawanan antarabangsa kita tak boleh terlalu menekan pemain dan mereka harus diberi rehat kerana aksi antarabangsa ‘levelnya’ tak sama dengan Liga M.

“Jadi bila kita tolak dan darab hari yang tinggal, Cheng Hoe tak ada banyak masa nak buat latihan intensiti tinggi kerana ia boleh memudaratkan pemain. Jadi lebih baik tekankan aspek keserasian kerana mereka ini hanya dikumpulkan untuk satu-satu kejohanan saja bukannya berbentuk liga,” katanya kepada Arena Metro.

Zakaria turut berharap di masa akan datang, Tan Cheng Hoe tidak mengabaikan aspek minit permainan dan hanya memanggil pemain-pemain yang sedang berada di prestasi terbaik, bukan bersandarkan kepada profil mereka.

“Pada saya pemain yang dipanggil sepatutnya pemain yang ada minit permainan yang baik di liga tempatan, bukannya yang duduk bangku simpanan lepas itu dapat main dalam skuad negara.

“Bila jarang beraksi di kelab, macam mana pemain itu nak menyerlah dengan skuad kebangsaan sedangkan di dalam liga kurang bermain. Di situ kena diambil perhatian serius untuk kem latihan akan datang,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.