Kenapa ‘Sulaiman Hussin’ seorang yang dipersoalkan, mana tahu kalau saya seorang jutawan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kalau saya jadi owner (pemilik) apa masalah dia, adakah saya ni confirm tak ada duit? Maksud saya, kita tak boleh nilai seseorang (secara luaran).

“Mungkin (saya) nampak macam tak ada duit, tapi mana tahu saya seorang jutawan ke, contohnya lah .. kita tak tahu,” kata ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin kepada Nadi Arena.

Kenyataan Sulaiman Hussin itu sebagai reaksi kepada persoalan mengenai kekuatan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd, syarikat miliknya yang didaftarkan sebagai pemilik UKM FC bermula musim 2021.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 5 Oktober lalu mengesahkan UKM FC telah berjaya melengkapkan dokumentasi untuk pelesenan dan penswastaan pasukan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan, sekaligus menyaksikan mereka lulus untuk diberikan lesen kebangsaan bersyarat.

Begitupun disebabkan pemilik dan pengarah Varsity Boys Sdn Bhd adalah Sulaiman Hussin sendiri, menyebabkan badan induk itu telah menuntut penjelasan daripada UKM FC, terutamanya mengenai kekuatan kewangan syarikat itu.

Kegagalan UKM FC memberi penjelasan dan mengemukakan dokumen yang diminta sebelum 19 Oktober boleh menyebabkan mereka dikenakan hukuman, termasuklah lesen bersyarat yang diberi boleh ditarik balik.  

“Kita tiada sebarang sikap prejudis, ini adalah satu prosedur normal untuk mendapatkan penjelasan sahaja.

“Sebagai contoh Sulaiman adalah ketua jurulatih, tiba-tiba nama ada sebagai pengarah syarikat, dari mana sumber kewangan beliau ataupun syarikat itu, atau adakah kewangan yang dimiliki itu kukuh.

“Jadi FAM menerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional meminta mereka menyediakan dokumen berkaitan terutama berkaitan aspek kewangan.

“Perkara terbabit penting bagi sebuah pasukan dan tidak mahu perkara terbabit timbul pada masa akan datang,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Mengulas lanjut, Sulaiman Hussin juga pelik kerana Varsity Boys Sdn Bhd mempunyai tiga lagi pengarah iaitu Fairus Shafie, Tony Azman Hassan dan Suhaimi Suliman tetapi keraguan timbul hanya kerana namanya turut berada dalam senarai.

“Bukan saya seorang, tetapi ada tiga orang lagi pengarah syarikat, dan kalau tengok pemilikan pasukan lain pun, ada jer setiausaha yang jadi pemilik, jadi pengarah (syarikat), tak ada pun dipersoalkan, kenapa ‘Sulaiman Hussin’ yang dipersoalkan,” katanya lagi.

Sebagai rekod, UKM FC pada musim ini menamatkan saingan Liga Premier di tangga kesembilan dengan 12 mata, setelah mencatat kemenangan dalam aksi terakhir menentang Perak II.

Bagaimanapun ia tidak mencukupi untuk mereka layak ke saingan Piala Malaysia buat pertama kali.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.