Kenyataan Faizal Azumu Bercanggah Dengan Tony Fernandes, Syed Saddiq

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Benarkah kos RM10 juta untuk membaikpulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil adalah satu salah faham, sebaliknya ia kos untuk membaikpulih padang di seluruh negara sepertimana dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu?

Persoalan mengenai kos sebenar pembaikpulihan Stadium Nasional Bukit Jalil timbul setelah Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) menyatakan beliau terkejut diberitahu oleh Faizal Azumu mengenai kos RM10 juta itu sedangkan padang Stadium Sultan Ibrahim yang menggunakan rumput jenis Zoysia selain dilengkapi teknologi moden serba canggih pun hanya memakan kos RM1.4 juta.

Faizal Azumu ketika ditemui wartawan pada Selasa berkata beliau mungkin telah memberikan info yang tidak tepat kepada Tunku Ismail, namun semakan mendapati memang itu jumlah yang telah disebut sebelum ini oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandez.

Berita Berkaitan : Mungkin Saya Beri Info Tidak Tepat Kepada TMJ – Faizal Azumu

Ini adalah kenyataan Tony Fernandes pada 16 Mac lalu selepas majlis lanjutan perjanjian penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue rasmi Harimau Malaya untuk tempoh lima tahun akan datang bersama Persatuan Bolasepak Malaysia.

“Stadium ini cukup cantik dan antara yang terbaik di dunia. Malah, berani saya katakan kemudahan dan reka bentuk stadium ini adalah antara yang terbaik di dunia ketika ini.

“Tetapi ada satu masalah iaitu rumput. Jadi saya dah bentangkan kepada kerajaan dan mereka bersetuju untuk menukar keadaan padang yang lebih baik dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Saya mahu selepas ini pasukan luar yang datang bermain di sini contohnya Barcelona akan balik dengan kegembiraan kerana dapat beraksi di atas padang terbaik dan kemudahan stadium yang canggih.

Berita Berkaitan : PSM Peruntukkan RM10 Juta Untuk Pembaikpulihan Stadium Nasional

Tony Fernandes ketika itu turut menyatakan bahawa PSM mempunyai empat sampel jenis rumput yang berbeza dan akan diuji untuk kesesuaiannya untuk digunakan dalam beberapa jenis sukan iaitu bola sepak, ragbi dan olahraga.

Sementara Syed Saddiq pada Februari tahun 2020 berkata kos kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil adalah bagi memastikan stadium itu memiliki padang yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Katanya ia juga bagi memastikan padang stadium bersesuaian dengan cuaca di negara ini, supaya ia menjadi satu pelaburan yang berbaloi.

“Kita dapat maklum balas daripada pihak industri sukan dan rakan-rakan media bahawa ya, padang kita bagus tapi tidak terbaik jadi ia mesti kena ada standard tinggi dan kita ada berbincang dengan persatuan dan memuktamadkan untuk naik taraf padang.

“Kita nak pastikan stadium yang merupakan ‘padang rumah’ bagi Harimau Malaya dalam keadaan terbaik, tahan lama. Walaupun kos tinggi, pelaburan berbaloi,” ujar Syed Saddiq.

Foto kredit : Goal.com


Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.