Keputusan MFL Disifatkan Berat Sebelah, NS Heret Kes Kepada FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Negeri Sembilan FC nampaknya tetap tidak berpuas hati dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) menolak rayuan mereka berhubung insiden ketika perlawanan menentang Kelantan FC pada 27 Ogos lalu.

Pasukan itu sebelum ini telah mengemukakan bantahan kepada MFL atas tindakan Kelantan melanggar peraturan permainan dengan membuat empat kali pertukaran pada perlawanan itu.

MFL telah mendapati Kelantan FC bersalah dan mengenakan hukuman denda RM30,000 manakala kesemua empat pengadil yang bertugas pada perlawanan itu pula digantung selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Tetapi Negeri Sembilan yang membuat bantahan pula tidak mendapat sebarang manfaat daripada tindakan itu sedangkan terbukti bahawa bantahan mereka itu adalah tepat.

Berita Berkaitan : Kesemua Empat Pengadil Perlawanan NS – Kelantan Digantung

Berita Berkaitan : NS Yang Protes, Tapi MFL Yang Dapat RM30,000

Justeru tindakan itu disifatkan sebagai berat sebelah dan pihak pengurusan Negeri Sembilan kini mahu mengheret kes itu untuk diadili Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kita tidak berapa puas hati terhadap keputusan MFL menolak rayuan kerana Kelantan FC sudah dikenakan penalti (denda). Kita kesal dengan keputusan itu dan merancang membuat rayuan kepada FAM,” kata Presiden PBNS yang juga Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam sempena kejayaan Negeri Sembilan FC layak ke Liga Super 2022 di sebuah hotel di Seremban pada Selasa, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Datuk Seri Aminudin yang juga merupakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan mengumumkan insentif sebanyak RM2,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan menjelang aksi terakhir Liga Premier menentang PDRM FC.

“Akibat pandemik COVID-19, kita berhadapan pelbagai kekangan dan tidak berkemampuan untuk menyalurkan sumbangan atau insentif yang lebih besar atas kejayaan pasukan Negeri Sembilan layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

“Namun begitu, sumbangan RM2,000 kepada semua pegawai dan pemain pasukan ini diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi tinggi menjelang perlawanan terakhir liga dan seterusnya mendapatkan trofi kejuaraan.

“Saya bagi pihak rakyat dan peminat bola sepak Negeri Sembilan, rasa terharu dengan kejayaan pasukan berjaya layak ke Liga Super 2022 selain bakal beraksi pada saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Aminuddin berharap kejayaan layak ke Liga Super musim hadapan dapat mengembalikan semula reputasi pasukan yang pernah bersaing di liga utama itu sebelum ini.

Beliau memuji PBNS dan NSFC yang mengamalkan pengurusan terbaik dengan memastikan kepentingan pasukan serta kebajikan pemain diberikan keutamaan apabila tidak menghadapi masalah termasuk dari segi pembayaran gaji.

Beliau percaya semuanya itu antara ramuan yang membawa kepada kejayaan pasukan Negeri Sembilan musim ini.

“Kita sama-sama berdoa dan berharap agar Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat ini. Ini akan dapat memberi peluang kepada penyokong memasuki stadium dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada perlawanan terakhir liga, 21 September ini dan seterusnya pada saingan Piala Malaysia,” katanya.

Foto kredit : Negeri Sembilan Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.