Kerana tewas dua perlawanan, atau kerana terlalu lantang bersuara?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru sahaja Liga Malaysia berlangsung dua perlawanan atau dalam kata lain baru seminggu saingan musim baru bermula, Thomas Dooley menjadi jurulatih pertama untuk direhatkan.

Selepas membimbing pasukannya tewas dua perlawanan pertama di tangan Selangor FC kemudiannya Perak FC di laman sendiri, tiada kelibat pengendali dari Amerika Syarikat itu di tepi padang ketika aksi menentang Melaka United dalam perlawanan ketiga.

Sebaliknya jurulatih kesayangan penyokong Pahang, Dollah Salleh yang beralih peranan sebagai pengurus pasukan sejak awal musim ini, diberi kepercayaan mengemudi pasukan, lantas berjaya mendapatkan mata pertama mereka musim ini hasil keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat.

Apa sebenarnya yang terjadi kepada Thomas Dooley, benarkah dua kekalahan berturut-turut adalah punca utama dia direhatkan?

Dalam konteks bolasepak Malaysia, istilah direhatkan hanyalah ‘terms’ halus atau lembut untuk menyatakan seseorang jurulatih itu telah dipecat, belum ada sejarah seseorang jurulatih yang direhatkan kembali memenangi semula tempatnya di dalam pasukan.

Ini bermakna Dollah Salleh dijangka akan terus memegang pasukan ini untuk musim kelima berturut-turut, jika pengurusan tidak memilih untuk mencari pengganti lain.

Berbalik kepada cerita Thomas Dooley, takkanlah pengurusan Sri Pahang FC mengimport seorang jurulatih berpengalaman nun jauh dari Amerika tetapi memberikannya KPI hanya dua perlawanan sahaja?

Mungkin ia boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang mengarut jika membawa masuk jurulatih luar tetapi tiada satu perancangan jangka panjang dan KPI tertentu untuk dipenuhi, hanya melihat keputusan dalam dua perlawanan pertama?

Malah Thomas Dooley sendiri telah memberitahu sebelum ini sasarannya adalah untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala ketika majlis pelancaran jersi Sri Pahang FC pada awal bulan ini.

Umum mengetahui persiapan kesemua pasukan untuk menghadapi saingan musim ini agak bercelaru disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hanya tiga minggu untuk pra musim dan tidak banyak masa untuk pemain-pemain mencipta keserasian, Sri Pahang FC juga tidak terkecuali.

Jadi takkanlah pengurusan tidak mengambil kira perkara ini, atau sebenarnya Thomas Dooley direhatkan atas sebab yang lain.

Bekas kapten Amerika Syarikat di Piala Dunia 1994 itu sebelum ini lantang bersuara mengkritik mengenai fasiliti latihan Sri Pahang FC yang disifatkannya terlalu amatur dan menyamakannya dengan fasiliti kelab divisyen lapan Jerman.

“Saya bertanya di mana bilik persalinan, dan diberitahu tidak ada. Kemudian saya bertanya di mana pemain-pemain menyalin pakaian, mereka kata pemain basuh sendiri baju dan menukarnya secara terbuka, dan saya katakan ini perlu berubah.

“Awak mahu pemain-pemain ini beraksi di hadapan 80,000 orang tetapi mereka basuh sendiri baju dan bersalin di dalam kereta, situasi ini boleh dilihat di saingan Liga Divisyen 8 di Jerman, dan ini pula Liga Super, divisyen terbaik di Malaysia,” antara kritikan disuarakannya sebelum ini.

Malah dia juga dilihat tidak gembira dengan tindakan pengurusan melepaskan beberapa pemain tonggak, selain ‘lambat bertindak’ untuk mendapatkan pemain yang dimahukannya menyebabkan mereka disambar pasukan lain.

Justeru, ia sesuatu yang tampak jelas tindakan merehatkan Thomas Dooley dilihat bukan semata-mata faktor keputusan yang tidak menyebelahi dalam dua perlawanan, tetapi turut didorong oleh kelantangannya bersuara.

Thomas Dooley perlu memahami, inilah Liga Malaysia dan adakalanya terlalu jujur adalah tidak bagus jika mahu bertahan lama.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.