Kereta ‘Total Lost’, Dollah Salleh Berdepan Detik Cemas Terperangkap Banjir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir yang melanda Kuantan, Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku ketika beliau yang ingin pulang ke Kuala Lumpur melalui jalan berdekatan Sungai Soi, Kuantan di mana paras air secara tiba-tiba semakin naik memaksa beliau dan seorang rakannya keluar daripada kereta yang dipandunya.

Meskipun kereta yang dipandunya rosak teruk kerana dinaiki air namun beliau tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri dalam insiden itu.

“Saya sebenarnya dari Lanjut bersama rakan dan ingin pulang sekitar dalam jam pukul 5 petang, jadi pada mulanya saya redah sahaja jalan di Tanjung Lumpur.

“Laluan kedua pula berdekatan Sungai Soi, laluan simpang ke arah Pekan yang pada mulanya nampak macam tiada apa-apa, jadi saya meneruskan perjalanan macam biasa.

“Tetapi tidak sangka makin lama makin dalam air sehingga sudah memasuki kereta, dan kami tidak dapat berbuat apa-apa langsung selepas itu, nasib baik ada orang awam lain yang datang membantu.

“Saya duduk situ daripada jam 6 petang hingga 11 malam baru ada orang datang tunda kereta, dan saya boleh cakap kereta memang musnah sepenuhnya,” jelas Dollah Salleh.

Selain itu, antara yang turut sama terkesan dengan kejadian banjir adalah keluarga penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid selepas rumahnya di Kuantan dinaiki air sejak dua hari lalu.

Pemain berusia 32 tahun ini yang berada di Singapura bersama skuad kebangsaan mengakui hatinya tidak tenteram tatkala situasi banjir yang kian membimbangkan tempoh hari apatah lagi berada jauh daripada keluarga.

Namun, perkhabaran terkini daripada adik beradik memberi sedikit kelegaan selepas kesemua ahli keluarga termasuk ibunya telah pun berpindah ke tempat yang lebih selamat dan paras air juga sudah mulai surut.

“Memang rasa tidak senang hati bila fikir keadaan mereka dekat Kuantan, dan saya pula jauh , jadi hanya menunggu perkhabaran daripada adik-beradik sahaja untuk tahu apa yang berlaku.

“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik, dan sekarang semua tengah bergotong royong membersihkan rumah, tiada barang berharga yang musnah, cuma motosikal yang saya tumpangkan di rumah kawan di Kuala Lumpur pula tenggelam.

“Rasanya bulan ini penuh dugaan dengan saya positif Covid-19 sebelum ini dan dengan ditimpa bencana seperti ini pula, tapi Alhamdulillah semuanya beransur pulih”, katanya.

Terdahulu, kejadian banjir teruk telah menimpa beberapa kawasan termasuk di Shah Alam dan Kuantan sejak beberapa hari lalu sehingga memusnahkan kediaman dan harta benda.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.