Kes positif Covid-19, MFL siasat jika Kelantan FC perlu diambil tindakan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysian Football League (MFL) sedang menyiasat punca beberapa pemain Kelantan FC dijangkiti virus Covid-19 untuk dibentangkan di Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah sebelum memutuskan jika perlu diambil tindakan susulan.

MFL sebelum ini mengesahkan dua pemain Kelantan FC positif Covid-19 menerusi swab test yang dilakukan sebelum perlawanan Liga Premier menentang Selangor II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Mei lalu.

Dua pemain itu terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor II, dan kemudiannya perlawanan menentang Perak II yang sepatutnya berlangsung pada 6 Mei pula terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Mereka kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan tindakan boleh diambil ke atas pasukan Kelantan FC sekiranya kes jangkitan Covid-19 disebabkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan.

Begitupun, Abd Ghani menekankan perkara yang lebih mustahak ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada semua pemain dan pegawai Liga Malaysia.

“Berkaitan pemain Kelantan FC, kita sedang melihat dan mengkaji bagaimana pemain itu mendapat Covid-19, kita tidak mahu gelembung sukan ini pecah.

“Kalau berada dalam gelembung dan terkena mungkin tiada tindakan namun jika pemain berkenaan keluar dan sebagainya tanpa mengikut SOP tindakan akan diambil kepada pasukan,” katanya.

Pada bulan lalu, Abd Ghani berkata antara tindakan boleh diambil adalah pemotongan mata dan memberikan kemenangan percuma kepada pasukan lawan, namun ia jelas menimbulkan reaksi negatif daripada penyokong bolasepak tanah air yang menganggap ia langkah tidak adil.

Berita berkaitan : MFL tak teragak-agak potong mata, beri kemenangan percuma 

Sebagai rekod, penularan Covid-19 telah menyebabkan Liga Super pada musim 2020 dipendekkan kepada separuh musim manakala Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan, justeru Abd Ghani mahu komuniti bolasepak sentiasa beringat agar situasi sama tidak berulang.

Kes membabitkan pemain Kelantan FC adalah yang kedua dalam arena bolasepak tanah air selepas beberapa pemain Kuching City FC dijangkiti Covid-19 pada hujung tahun lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.