“Kesilapan Irfan Zakaria bukan dosa besar, dia akan bangkit dan belajar”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kesilapan yang dilakukan Irfan Zakaria ketika menentang Bahrain, tidak wajar dijadikan sebab untuk dia menjadi sasaran kritikan dan kecaman penyokong Harimau Malaya.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berpendapat Irfan Zakaria bukannya melakukan dosa besar untuk dia disisihkan terus daripada kesebelasan utama, sebaliknya menegaskan pemain KL City itu akan belajar dari  dan menjadi pemain yang lebih baik di masa akan datang.

“Kita nampak kesilapan individu daripada Irfan tetapi sebagai jurulatih, saya ada bercakap mengenai perkara itu di mana kesilapan itu boleh diperbaiki dan pada masa sama, dia tidak akan mengulangi perkara sama.

“Kita perlu yakin dan percaya kerana Irfan sudah lama bersama kita dan beraksi di pentas antarabangsa. Dia pun sedar mengenai kesilapannya dan dia akan diberikan peluang jika pasukan perlukan khidmatnya,” kata Tan Cheng Hoe.

Irfan Zakaria diturunkan dalam kesebelasan utama kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain, dan secara keseluruhannya bergandingan dengan baik bersama Aidil Zafuan Abd Radzak.

Namun kesilapan ‘kurang bijak’nya menghadiahkan penalti dengan memeluk dan menjatuhkan Mahdi Abduljabbar ketika menentang Bahrain menyebabkan dia dianggap sebagai bukan pilihan ideal untuk mengemudi jantung pertahanan apatah lagi tiga lawan di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bukan calang-calang.

Malaysia akan berdepan UAE pada 3 Jun disusuli Vietnam pada 11 Jun dan akhir sekali Thailand pada 15 Jun.

Walaupun mempertahankan Irfan Zakaria, Tan Cheng Hoe tidak menolak akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama khususnya benteng pertahanan yang mana pada pengamatannya merupakan kelemahan paling besar.

“Kita sedang meneliti dan membuat kajian untuk kesebelasan utama menentang UAE. Sudah tentu ini bukan perkara yang mudah kerana pemain berada pada tahap komitmen yang terbaik.

“Belum pasti lagi (kesebelasan utama) mungkin ada satu atau dua posisi perlu kita perkuat. (Pertahanan) memang sebahagian daripada perancangan kita tetapi secara keseluruhan, kesilapan individu itu boleh diperbaiki.

“Kita harapkan pemain yang diturunkan nanti dapat memberikan tumpuan 100 peratus kerana aksi menentang UAE cukup penting,” katanya.

Selain Aidil Zafuan dan Irfan Zakaria, pilihan lain di pertahanan adalah Adam Nor Azlin yang pernah bermain dua kali dalam pusingan kelayakan, Junior Eldstal dan Dominic Tan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.