Ponteng latihan, tidur di reban ayam!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bagi peminat komik dan siri animasi Anak-Anak Sidek, pastinya sudah sinonim melihat empat beradik Abun, Alan, Ajib atau Aman (tidak termasuk Adul yang masih merangkak) didenda dan dikenakan hukuman oleh bapa mereka Haji Sidek apabila terkantoi melakukan kesalahan, termasuklah disuruh tidur di reban ayam.

Adakalanya mencuit hati, adakalanya mengundang simpati. Kadang-kadang si adik buat salah, si abang menjadi mangsa, dan begitulah sebaliknya. Kita yang menonton, atau membaca pula rasa geram, mahu sahaja dicubit watak-watak yang nakal itu. Yang pasti, gelagat lima beradik itu menjadi kenangan yang indah buat kanak-kanak 90-an.

Ketegasan ditunjukkan Haji Sidek dalam mendidik anak-anak beliau, bukanlah sekadar rekaan melengkapkan jalan cerita, tetapi itu realiti dunia sebenar.

Haji Sidek Ponteng latihan, tidur di reban ayam!

Dan itulah yang menjadi x-factor yang membawa lima beradik anak-anak Sidek ini menempa gemilang dan mengegar arena badminton dunia selama hampir dua dekad dari penghujung 70-an hinggalah ke penghujung 90-an.

Ini perkongsian Datuk Seri Jalani Sidek (Alan) kepada NSTP beberapa bulan lalu.

“Arwah bapa (Datuk Sidek Abdullah Kamar) sememangnya mahukan kami berjaya dalam sukan badminton dan untuk itu, beliau menerapkan disiplin cukup tinggi.

“Bahasa kasar yang mungkin saya boleh gunakan ialah kami ‘dipaksa’ untuk meminati badminton meskipun ketika itu saya sebagai contohnya juga boleh bermain bola sepak, sepak takraw dan ping pong.

“Arwah sering membawa kami menyaksikan perlawanan badminton di sebuah dewan yang jaraknya kira-kira 4 kilometer dari rumah.

“Kami tiada pilihan. Setiap hari kami perlu berlatih bermain badminton di gelanggang tepi rumah. Jika ada yang ponteng, maka siaplah untuk menerima hukuman disumbat ke reban ayam.

“Rotan dan tali pinggang sudah sebati dalam kehidupan kami. Kena tampar pun bukan sesuatu yang asing.

“Malah saya masih ditampar arwah walaupun sudah bergelar pemain profesional hanya semata-mata mahu memperbetulkan kesilapan yang saya lakukan.

“Namun saya bersyukur kerana dengan disiplin tinggi itu kami berlima dapat melakar kejayaan dan diingati hingga kini,” kata Alan yang mencipta gandingan digeruni bersama Datuk Razif Sidek (Ajib) bermula awal 80-an hinggalah menoktahkan karier pada pertengahan 90-an.

Razif dan Jalani Sidek 1 Ponteng latihan, tidur di reban ayam!

Gandingan Alan-Ajib memenangi hampir 30 gelaran dalam karier dan boleh dikatakan mereka berjaya ‘tapau’ hampir semua kejohanan yang dipertandingkan ketika itu.

Antaranya kejutan dilakar All England 1982; empat kali memenangi pusingan akhir Grand Prix Dunia; pingat emas Sukan Komanwel 1990; pingat emas Sukan Sea 1985; pingat emas Piala Dunia 1990 dan 1991; Kejuaraan Asia 1992 dan banyak lagi kejuaraan lain.

Mereka juga menyumbang pingat pertama Malaysia di temasya Olimpik 1992 dengan memenangi gangsa dan menjulang Piala Thomas 1992 dengan menewaskan Indonesia.

Sementara itu, menurut Razif (Ajib) pula, “Apa yang anda lihat di dalam komik, itulah kehidupan kami. Arwah ayah sangat mahu melihat kami lima beradik menempa nama sebagai pemain yang hebat dan kami sentiasa bersyukur dengan jasa ayah.

“Sebenarnya ketika di sekolah, saya menceburi pelbagai sukan selain badminton seperti olahraga, sepak takraw, ping pong dan bola sepak. Saya boleh dikatakan bagus dalam semua sukan ini, bermain di peringkat sekolah dan juga peringkat negeri.

“Pada satu hari, ayah memberitahu yang dia akan menanggung kesemuanya daripada segi elaun, peralatan latihan dan lain-lain jika saya memilih badminton sebagai sukan utama. Jika saya pilih sukan lain seperti bola sepak pula, dia tak akan beri sokongan,” katanya.

Selepas itu, Ajib yang berusia sembilan tahun menyertai pasukan badminton Selangor dan ayahnya membeli segala kelengkapan serta membina gelanggang di belakang rumah mereka yang turut menjadi titik permulaan pembabitan secara serius dalam sukan badminton.

“Saya memulakan karier sebagai pemain perseorangan dan kemudian berganding dengan Jalani di mana kami menang banyak kejuaraan peringkat B-18. Pada 1980, saya berganding dengan Ong Beng Teong manakala Jalani berganding dengan Misbun tetapi ia tidak bertahan lama. Arwah ayah menyuruh saya berganding semula dengan Jalani manakala Misbun disuruh fokus kepada perseorangan, selepas itu kami tidak lagi berpaling.

“Saya dengan Jalani sangat serasi. Kami cukup memahami permainan satu sama lain. Jalani hanya satu tahun muda daripada saya manakala Mibun pula dua tahun lebih tua. Kami bertiga sangat rapat dan sentiasa bercakap mengenai badminton dan strategi. Kami makan, tidur, berlatih, bercakap pasal badminton setiap waktu.

“Menang All England adalah sesuatu yang sangat istimewa, ketika itu saya 20 tahun dan Jalani pula 19. Ketika itu menang All England dah sama taraf dengan muncul juara dunia. Kami tak jangka untuk melangkah jauh tapi kami lakukannya dengan tewaskan pemain terbaik dunia.”

IMG 20200606 030947 Ponteng latihan, tidur di reban ayam!

Ajib bersara selepas membantu pasukan negara muncul naib juara Piala Thomas 1994, Malaysia gagal pertahankan kejuaraan selepas tewas kepada Indonesia pada aksi final.

Dia kemudian menjadi ketua jurulatih kebangsaan dan membimbing pasukan negara memenangi pingat perak pertama Olimpik menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap kim Hock sementara adiknya Rashid (Adul) menang gangsa.

Legasi keluarga Sidek, kini disambung anaknya, Fazriq, pemain muda meningkat naik yang mempunyai keyakinan diri tinggi.

Foto : NSTP, thestar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.