Ketiga-tiga Gabriel Arsenal Tidak Dipanggil Perkuatkan Brazil

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Brazil membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan penyerang Arsenal, Gabriel Jesus dalam senarai 26 pemain untuk aksi persahabatan pra-Piala Dunia pada bulan ini berdepan Ghana dan Tunisia.

Ketua jurulatih, Tite sebaliknya menamakan bintang baru Manchester United, Antony; penyerang Liverpool, Roberto Firmino dan Richarlison dari Tottenham Hotspur untuk mengepalai jentera serangan.

Dua pemain pertahanan, Gleison Bremer (Juventus) dan Roger Ibanez (AS Roma) pula disenaraikan buat kali pertama.

Tiada sebab jelas daripada Tite mengapa dia menyisihkan Gabriel Jesus yang dalam prestasi terbaiknya itu tetapi laporan mengatakan memandangkan ini adalah skuad eksperimen terakhir Tite sebelum Piala Dunia Qatar, dia mahu memberikan peluang kepada lebih ramai pemain untuk cuba memikatnya bagi disenaraikan dalam skuad akhir Piala Dunia yang akan bermula pada 20 November.

“Ini akan memberikan peluang dan keadilan untuk aksi berikutnya (dalam senarai terakhir),” kata Tite dalam sidang media.

“Saya tidak boleh menutup senarai pemain untuk pasukan kebangsaan ketika ini, dan mungkin pemain lain akan muncul (sebelum Piala Dunia).”

Turut tidak dipanggil untuk eksperimen kali ini, rakan sepasukan Jesus di Arsenal, Gabriel Martinelli dan Gabriel Magalhaes selain Philippe Coutinho dan Dani Alves.

Brazil akan menentang Ghana pada 23 September di Le Havre, Perancis dan Tunisia di Paris tiga hari kemudian. Pada Piala Dunia, Brazil berada dalam Kumpulan G bersama Cameroon, Serbia dan Switzerland.

Brazil dalam usaha mahu memenangi Piala Dunia buat kali keenam, setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 2002 dengan menewaskan Jerman.

Skuad Brazil -:

Penjaga gol: Alisson (Liverpool), Ederson (Manchester City), Weverton (Palmeiras)

Pertahanan: Bremer, Alex Sandro, Danilo (Juventus), Eder Militao (Real Madrid), Roger Ibanez (AS Roma), Marquinhos (Paris Saint Germain), Thiago Silva (Chelsea), Alex Telles (Sevilla)

Tengah: Bruno Guimaraes (Newcastle United), Casemiro, Fred (Manchester United), Everton Ribeiro (Flamengo), Fabinho (Liverpool), Lucas Paqueta (West Ham United)

Penyerang: Antony (Manchester United), Roberto Firmino (Liverpool), Matheus Cunha (Atletico Madrid), Neymar (Paris Saint Germain), Pedro (Flamengo), Raphinha (Barcelona), Richarlison (Tottenham Hotspur), Rodrygo, Vinicius Jr (Real Madrid).

Sumber : Reuters

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.