Kevin Ramalingam kembali jadi ‘orang kuat’ MFL?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kevin Ramalingam dijangka membuat ‘comeback’ ke dalam Malaysian Football League (MFL), mengisi semula jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dilepaskannya pada November 2019.

Ini berikutan CEO ketika ini, Datuk Abd Ghani Hassan disebut-sebut akan menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah mengumumkan mahu melepaskan jawatannya sebagai Presiden MFL ketika Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tempoh hari.

Datuk Hamidin menyatakan sebab berbuat demikian adalah kerana mahu fokus kepada tugasnya sebagai Presiden FAM dan beliau tidak mahu mana-mana orang dalam FAM menjadi penggantinya di MFL, justeru beberapa nama telah dikaitkan termasuklah Tan Sri Tony Fernandes (CEO AirAsia Group).

Malahan Tony Fernandes sendiri dilihat berminat dan telah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan peluang tersebut jika kehadirannya boleh diterima oleh komuniti bolasepak.

Begitupun ahli lembaga pengarah difahamkan lebih berminat mencadangkan Datuk Abd Ghani untuk ‘dinaikkan pangkat’ memandangkan beliau telahpun melakukan tanggungjawab dengan cukup bagus sepanjang menggantikan Kevin Ramalingam, malah sudah pastinya lebih memahami apa yang perlu dilakukan untuk terus memacu MFL.

Manakala Kevin Ramalingam, yang tidak perlu lagi dinafikan kredibilitinya malah telah menjadi ‘orang kuat’ MFL sejak badan itu ditubuhkan pada 2015 (ketika itu dikenali dengan nama Football Malaysia Limited Liability Partnership) dicadangkan untuk dibawa masuk semula bagi melancarkan perjalanan badan itu.

Sebagai rekod, Kevin Ramalingam telah terlibat dengan bolasepak sejak tahun 2001 dan pernah menjadi perunding kepada beberapa pasukan bolasepak tempatan, termasuk dilantik sebagai CEO The Red Warriors pada tahun 2013.

Dia bersama MFL selama lima tahun dan meninggalkan pentadbir Liga Malaysia itu atas alasan mahu meneroka peluang baru dalam karier dan kemudiannya dilihat telah terlibat dengan pasukan Johor Darul Takzim.

Sementara itu, Datuk Abd Ghani pula dilihat enggan bercakap mengenai jawatan presiden MFL dan mahu fokus pada tanggungjawabnya sebagai CEO.

“Saya hanya menjalankan tugas selaku CEO hari ini, berkenaan jawatan presiden, saya tidak fikir lagi, terpulang kepada Ahli Lembaga Pengarah, sebab mereka yang buat keputusan,” katanya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.