Khairulazhan : “Pemain depan saya membuatkan saya kelihatan bagus”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Walaupun aksinya ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Thailand dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mendapat pujian ramai, penjaga gol Khairulazhan Khalid tidak mahu terbuai sebaliknya menetapkan fokus meneruskan aksi cemerlangnya itu bersama Selangor FC.

Khairulazhan juga memberikan kredit kepada rakan sepasukan terutama di benteng pertahanan yang menurutnya membantu untuk dia bermain dengan lebih yakin.

“Sejujurnya, saya rasa saya masih belum bagus dan pemain-pemain yang berada di depan saya di atas padang pada waktu itu sebenarnya yang bagus di mana mereka bantu saya lebih yakin melakukan tugas ketika menentang Thailand.

“Saya ambil pujian yang diberi itu sebagai sesuatu yang positif untuk saya lebih maju dan lebih yakin pada masa hadapan baik untuk kelab dan skuad negara.

“Memang sudah lama kita nantikan aksi di pentas antarabangsa, dan apa yang saya sudah belajar ketika bersama skuad negara berjaya menaikkan lagi tahap keyakinan saya untuk bantu Selangor pula bagi meraih kejayaan di pentas Liga Super,” kata Khairulazhan.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu mengakui tahap keyakinannya ketika ini lebih meningkat selepas mendapat aura positif ketika bersama Harimau Malaya dan percaya akan dapat membantu Selangor meraih kemenangan dalam baki saingan Liga Super yang dijadual bersambung pada bulan Julai.

Sejak bersama Selangor bermula musim 2016, Khairulazhan belum pernah menjulang sebarang trofi dan dia mahu lebih bekerja keras pada musim ini untuk memastikan impian itu direalisasikan.

“Memang semua pemain ingin buat yang terbaik untuk pasukan, saya juga ingin tengok Selangor lebih berjaya dan jika meraih kemenangan, memang bonus untuk kami.

“Cuma kita kena lebih usaha lagi untuk mencapai prestasi di tahap yang membanggakan dan untuk saya sendiri, saya memang mahukan kejuaraan selepas enam tahun masih belum rasa kejuaraan lagi,” ujarnya yang kali terakhir menjulang piala bersama Pahang sewaktu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2013 dan 2014.

Selangor FC ketika ini di kedudukan kelima Liga Super dengan 19 mata, tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Penang FC dan 11 mata di belakang pendahulu Johor Darul Takzim.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.