Khairul Fahmi Memang Buat Silap, Keputusan Pengadil Adalah Tepat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penalti yang dihadiahkan kepada Kemboja ketika aksi pembukaan Piala AFF 2020 menentang Malaysia pada Isnin tidak perlu dipertikaikan kerana ia sememangnya sah mengikut undang-undang permainan.

Bekas pengadil FIFA dan kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh berkata ini kerana penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat membuat kesilapan apabila ‘stud’ nya mengenai pemain lawan yang bermakna ada berlakunya sentuhan fizikal.

“Penjaga gol mengambil risiko apabila mengangkat kaki (ketika menangkap bola) dan mereka berpendapat ia boleh membantu melindungi atau mempertahankan diri. Berdasarkan klip video, Khairul Fahmi menggunakan kakinya dan ‘stud’ ke arah pemain lawan seterusnya mengenai bahagian badan lawan.

“Dalam undang-undang permainan (Laws) ada tiga peringkat iaitu ‘careless’, ‘reckless’ dan ‘excessive force’. Dalam kes Khairul, ia menjurus kepada ‘careless’.

“Mana-mana satu daripada ini akan menyebabkan sepakan percuma terus dan sekiranya berlaku dalam kawasan penalti maka sepakan penalti diberikan,” katanya kepada BH Sukan.

Justeru, Subkhiddin yang juga tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil FIFA menasihatkan supaya Khairul Fahmi atau mana-mana penjaga gol lebih berhati-hati dan tidak membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.

Dalam aksi di Stadium Bishan, penyokong bolasepak tanah air berang dengan pengadil Alhunfush Shukri Hussin yang menghadiahkan penalti kontroversi kepada Kemboja pada minit akhir permainan setelah Khairul Fahmi yang melompat untuk menangkap bola dikatakan mengasari pemain Kemboja.

Lebih malang, penjaga gol Melaka United itu yang mencipta rekod muncul pemain Malaysia pertama untuk beraksi di enam edisi Piala AFF, turut dilayangkan kad kuning.

Pemain Kemboja menyudahkan penalti itu untuk gol saguhati pasukannya tatkala Malaysia meraih kemenangan penting 3-1.

Sementara itu, tambah Subkhiddin lagi : “Sekarang kita perlu terbuka kerana undang undang permainan bukan hanya untuk pengadil sahaja. Pemain dan peminat juga berhak mengenali dan memahami undang-undang permainan.

“Semua orang tahu dan faham undang-undang permainan tetapi pengadil lebih terlatih, jadi dalam perlawanan, kita perlu merujuk dan terima pakai keputusan pengadil serta menghormatinya.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.