Khairul Fahmi, Safiq Rahim bakal memantapkan JDT?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua pemain Melaka United iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat serta pemain tengah, Safiq Rahim dikaitkan akan menjadi rekrut terbaru pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Ini berikutan tersebarnya permohonan menerusi FAM MyPAS dibuat JDT kepada Melaka United untuk mendapatkan dua pemain itu, dengan ianya masih lagi dalam proses.

Pasukan JDT dalam satu kenyataan pada Rabu telah memaklumkan bahawa akan memperkenalkan tiga pemain baru dalam tempoh terdekat justeru dengan tersebarnya maklumat permohonan tersebut menguatkan spekulasi Khairul Fahmi dan Safiq Rahim adalah dua daripadanya.

Sebagai rekod, Safiq Rahim yang juga bekas kapten pasukan kebangsaan pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan dari 2013-2018, yang mana dia sendiri menyifatkan tempoh enam musim itu adalah fasa terbaik di dalam karier gemilangnya.

Baca : 15 tahun main bola, JDT satu-satunya pasukan buat perubahan – Safiq Rahim

Malah dia juga menyifatkan siapapun akan rasa bertuah untuk bermain di JDT terutama kerana pengurusan professional dan layanan berkelas dunia terhadap pemain.

Sepanjang bersama JDT, Safiq Rahim menjulang Liga Super lima kali selain menjadi tunjang pasukan itu mencipta sejarah menjulang Piala AFC pada 2015. Manakala bersama Harimau Malaya, dia memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selain dinobatkan Pemain Tengah Terbaik Liga Malaysia empat kali pada 2011, 2012, 2015 dan 2016.

Khairul Fahmi atau Apek pula, mencipta nama bersama Kelantan bermula tahun 2010 dengan kejayaan paling manis buat penjaga gol berusia 33 tahun itu adalah menjulang treble Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA bersama Kelantan pada 2012.

Pemain berusia 32 tahun ini turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA bersama skuad B-23 kebangsaan sebanyak dua kali pada 2009 dan 2011, serta menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Khairul Fahmi menyertai Melaka United pada pertengahan 2018 berikutan krisis dalaman dialami pengurusan pasukan itu tetapi sepanjang tiga musim berada di bumi Hang Tuah, prestasinya tidak memuncak sama seperti ketika mewakili Kelantan.

Justeru jika benar dia akan menjadi rekrut terbaru skuad juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu, maka ia pasti peluang terbaik untuknya menyerlahkan semula prestasi yang merudum dalam masa sama mengintai kembali tempat di dalam skuad Harimau Malaya.

Foto ehsan : asiana.my

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.