Sepertimana beberapa pemain bolasepak lain, bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat turut tidak ketinggalan melibatkan diri dalam bidang perniagaan susulan penangguhan Liga Malaysia.
Penjaga gol Melaka United berusia 31 tahun itu mula berniaga gula melaka sejak beberapa hari lalu, sebagai inisiatif mengisi masa terluang selain mencari pendapatan tambahan.
“Saya mendapat idea menjual gula melaka secara online dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peminat termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei. Malah, saya terkejut apabila pesanan pertama adalah membabitkan 400 kilogram. Saya menjualnya dengan harga RM23 sahaja sekilogram termasuk penghantaran menerusi pos,” katanya dilaporkan Berita Harian.
Khairul Fahmi atau dikenali Apek bukan nama asing dalam arena bolasepak tempatan, dia menyarung jersi Kelantan 10 musim dan membantu pasukan itu menjulang semua kejuaraan domestik sebelum berhijrah ke Melaka United pada pertengahan 2018.
Bersama Harimau Malaya dia pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 selain menjulang Piala AFF Suzuki 2010.
Foto ehsan : Bharian Online