Khairul Shahril jawab soal bubar Perak FC susulan perpindahan ramai tonggak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed menjawab khabar angin mengenai kelab itu akan dibubarkan berikutan kemelut kewangan kritikal selain perpindahan ramai pemain utama ke pasukan lain.

Shahrul Saad dan Guilherme De Paula telah menyertai Johor Darul Takzim, manakala Kenny Pallraj dan J.Parthiban pula berpindah ke KL City disebabkan isu tunggakan gaji,  namun ia mungkin tidak berakhir di situ dengan beberapa pemain lain dijangka mengikut jejak mereka dalam tempoh terdekat.

Khairul Shahril mengakui ini fasa sukar buat arena bolasepak Perak, tetapi menegaskan membubarkan pasukan bukan satu pilihan.

“Mana mungkin kita bubar Perak FC. Ia bukan sekadar tidak menggembirakan rakyat tetapi menyusahkan banyak pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan lain yang terlibat sebab semuanya berkait, memang tiada langsung agenda menutup Perak FC.

“Dalam tempoh rehat dua bulan ini, kita akan perbaiki apa yang terkurang cuma masalah kita sebenarnya berkaitan dengan kewangan. Kita masih tidak dapat formula yang baik tapi usaha sedang berjalan untuk menyelamatkan Perak FC,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Shahril yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak berkata, biarpun sedikit terkesan dengan kehilangan beberapa pemain utama pasukan itu, beliau yakin Perak FC dapat bangkit semula dengan barisan pemain muda sedia ada.

“Perak FC sebenarnya mempunyai kelebihan pemain muda yang cukup hebat, biarpun saya agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan yang kita ada kerana perpindahan ini terbuka.

“Saya percaya kita mampu beri saingan dengan semua pemain yang ada. Kita ada perancangan yang setakat ini masih lagi tidak dapat dikongsikan,” ujarnya.

Sebagai rekod, ketika perlawanan menentang Sri Pahang minggu lalu, pengendali Perak FC Chong Yee Fatt menyenaraikan beberapa pemain muda dalam senarai 18 pemain antaranya Syahir Bashah, Khairul Amizan Suhaimi, Akmal Rizal Suhaimi, Amier Mohd Ali dan Aizat Safuan Razali.

Perak FC yang memegang rekod sebagai satu-satunya pasukan tidak pernah tersingkir dari Liga Super kini menduduki tangga kesepuluh dalam Liga Super dengan baki sembilan perlawanan untuk diharungi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.