Khairy Jamaluddin Tepis Dakwaan Kelantan Dianaktirikan Hak Penganjuran SUKMA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan tidak pernah dianaktirikan hak penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA), sebaliknya pihak kerajaan negeri yang menolak untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan.

Itu penjelasan oleh Khairy Jamaluddin, bagi mengelak timbul tanggapan bahawa Kelantan telah dinafikan hak penganjuran temasya sukan terbesar tanah air itu susulan kenyataan dibuat oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tiktoknya.

Syed Saddiq mendakwa bahawa dia adalah Menteri Belia dan Sukan pertama mengembalikan hak penganjuran SUKMA kepada Kelantan, namun Khairy Jamaluddin menyangkal kenyataan tersebut.

“Saya merujuk kepada sebahagian kenyataan dalam hantaran TikTok YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam yang antaranya mendakwa beliau ‘mengembalikan semula hak penganjuran’ temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kepada negeri Kelantan, seolah-olah menteri-menteri sebelumnya menafikan hak negeri tersebut.

“Sewaktu saya menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

“Mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia merupakan pilihan.

“Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan. Malahan, kita juga semasa membuat keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2022 supaya Sukan Malaysia ini dapat dibawa kepada rakyat negeri Kelantan.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Kelantan tidak pernah sesekali dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur SUKMA seperti dakwaan yang dibuat.

“Malahan, tiada satu negeripun yang dianaktirikan sewaktu saya menerajui Kementerian Belia dan Sukan dalam apa-apa hal sekalipun.

“Pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai oleh 14 Exco Belia dan Sukan Negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih”, ujarnya yang kini memegang portfolio Menteri Kesihatan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.