Khalid Ali bidas pemilihan Yusri Che Lah yang gagal bersama KL dan Kelantan

Khalid Ali
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Apa yang boleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harapkan dengan melantik seorang ketua jurulatih yang tidak mempunyai rekod cantik bersama pasukan Liga Malaysia yang pernah dibimbingnya sebelum ini?

Itu persoalan dilontarkan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali berhubung keputusan badan induk itu melantik Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN yang diumumkan pada Khamis lalu.

Pasukan itu dibentuk menerusi kerjasama FAM dan Majlis Sukan Negara, bagi menyediakan laluan kerjaya kepada pemain muda lepasan Akademi Mokhtar Dahari seterusnya membantu mereka mengharungi transisi ke pentas profesional.

Bagi Khalid Ali, struktur pentadbiran dan kejurulatihan pasukan itu diisi individu tidak berkelayakan, malah tidak mempunyai pengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dalam soal pembangunan bola sepak.

“Soal pembangunan bakat ini, FAM perlu kumpulkan orang yang berkemampuan membentuk sebuah pentadbiran yang baik dan cekap. Bila bercakap pasal pembangunan juga perlu ada seorang yang pakar dalam bahagian teknikal dalam program itu.

“Saya minta maaf, FAM nak buat program pembangunan tetapi mereka lantik individu yang belum terbukti, pada saya beliau (Yusri Che Lah) tidak layak (sebagai ketua jurulatih) sebab berdasarkan rekod di kelab pun gagal tetapi masih dipilih, jadi ke mana hala tuju skuad projek ini?,” katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, Yusri yang merupakan bekas pemain kebangsaan terjun ke bidang kejurulatihan bermula 2014 bersama skuad Piala Presiden Perlis dan setahun kemudian memimpin pasukan senior Perlis menjuarai Liga FAM seterusnya layak ke Liga Premier 2016.

Pada musim 2016 dia dipancing Felcra United tetapi tidak berjaya mencipta impak sama dan dipecat pada pertengahan 2017.

Selepas itu Yusri Che Lah menyertai Kelantan sebagai penolong jurulatih bagi musim 2018, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih tetapi gagal menyelamatkan pasukan itu tersingkir dari Liga Super.

Di awal 2019, dia membimbing Kuala Lumpur tetapi rekod buruk skuad warga kota yang tewas enam perlawanan berturut-turut menyaksikannya meletak jawatan dan kembali ke Kelantan sekali lagi sebagai penolong jurulatih.

Begitupun pengunduran Marko Kraljevic, menyaksikan Yusri sekali lagi diberi peranan ketua jurulatih dan membawa Kelantan menamatkan musim tersebut di tangga kedua tercorot Liga Premier, terselamat dari tersingkir ke Liga M3.

Bagi musim 2020, Yusri Che Lah membawa Kelantan menduduki tangga keenam dengan 15 mata.

Sementara itu, bercakap tentang penyertaan Skuad Projek FAM-MSN ini di dalam saingan Liga Premier 2021, Khalid Ali berpendapat ia berpotensi mengundang kesan negatif kerana membenarkan pemain seawal usia 18 tahun beraksi dalam kancah profesional dan berintensiti tinggi jelas bercanggah dengan konsep pembangunan bakat muda.

“FAM nak kembangkan potensi pasukan ini tetapi letak dalam Liga Perdana, ia satu kejohanan. Adakah langkah itu tepat? Ia seperti membunuh karier mereka. Saya seorang bekas pemain, pengalaman saya apabila bersaing dengan pemain lebih berpengalaman saya jadi gementar… 30 peratus tahap keyakinan saya turun.

“Dalam proses membentuk bakat muda terbaik, pemain kena melalui fasa serta tahap tertentu dan kena ingat tidak semua pemain mampu terus melompat ke tahap lebih tinggi. Tapi dalam isu ini, pemain di tahap satu (misalnya) terus lompat ke tahap ke-10 apabila beraksi dalam Liga Perdana,” ujar Khalid Ali yang merupakan antara watak penting membawa pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.