Khalid Ali bidas Rizal Ali sebab cabut lari tanpa selesaikan masalah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat tindakan Rizal Ali Naizali melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, tidak kena pada masanya, lebih tepat tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Rizal Ali sewajarnya menyelesaikan dahulu masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, bukannya ‘cabut lari’ dan menambahkan sengsara di kem Perak FC.

“Saya rasa ini satu penganiayaan kepada pemain dan penyokong bolasepak Perak. Sepatutnya dia meletakkan jawatan selepas menyelesaikan segala masalah yang sudah berlaku. Itu yang terbaik, barulah orang akan hormati dia.

“Bukan ketika pasukan masih dalam masalah sebegini dan dia lari daripada masalah, ini tidak sepatutnya berlaku. Sekarang ini siapa yang akan bertanggungjawab untuk menguruskan masalah ini?

“Saya cukup kecewa dengan masalah seperti ini apatah lagi Perak merupakan antara nama besar dalam kancah Liga Malaysia sejak berpuluh tahun dahulu,” ujar Khalid Ali dilaporkan Sinar Harian.

Rizal Ali yang memegang jawatan CEO Perak FC sejak 20 Februari lalu, membuat keputusan melepaskan jawatan pada lewat malam Ahad (9 Mei 2021), bagi memberi ruang kepada individu lain menerajui dan memulihkan kemelut pasukan itu yang ditimpa masalah demi masalah.

Pasukan itu berdepan krisis kewangan meruncing, difahamkan gaji tertunggak melebihi dua bulan walaupun Rizal Ali menafikannya.

Situasi bertambah buruk Jumaat lalu apabila pemain bertindak memboikot sesi latihan dan sehari selepas itu dua pemain Shahrul Saad dan Guilherme De Paula membuat keputusan angkat kaki menyertai Johor Darul Takzim.

Terbaru, dua lagi pemain Kenny Pallraj dan J.Pathiban turut meninggalkan pasukan dan menyertai KL City.

“Semua pihak dalam Perak FC dan PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) kena duduk berbincang, mungkin melakukan potongan gaji dalam keadaan pandemik ini. Lebih baik dapat separuh gaji daripada tidak dapat langsung,” tambah Khalid Ali.

Sementara itu, pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad turut senada dengan Khalid Ali, menegaskan bahawa Rizal Ali tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

“Memang dia letak jawatan tetapi adakah dengan peletakan jawatan itu masalah tunggakan gaji pemain ini selesai? Tidak boleh sewenang-wenangnya ambil tindakan begitu tanpa ada solusi untuk mengubah keadaan ini.

“PAFA sendiri tidak akan bertanggungjawab untuk perkara itu kerana kita sudah maklumkan kepada mereka sebelum ini bahawa apa jua perkara yang membabitkan Perak FC adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pengurusan Perak FC.

“Tunggakan gaji ini bukan baru berlaku tetapi mereka macam acuh tidak acuh, sehinggakan sampai satu tahap terpaksa menagih simpati daripada kerajaan negeri untuk selesaikan masalah ini. Adakah ini yang dikatakan profesional?” kata Muhammad Yadzan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.