Jika ada pasangan adik beradik yang boleh dianggap paling berjaya dalam arena bolasepak tanah air, nama dua legenda terkemuka iaitu Khalid Ali dan Zainal Abidin Hassan adalah antara yang wajar dimasukkan ke dalam senarai.
Kedua-duanya mencipta nama dan kegemilangan bersama pasukan kelab yang diwakili dalam Liga Malaysia, serta pasukan bolasepak kebangsaan dengan pelbagai pencapaian yang mengagumkan.
Menariknya, Khalid Ali dan Zainal Abidin mempunyai satu tarikan tersendiri di era mereka beraksi, gaya rambut mengerbang ataupun afro yang menjadikan masing-masing tampak lain dari yang lain dan siulan penyokong.
Menyingkap karier Khalid Ali yang kini merupakan pengkritik bolasepak kesayangan ramai, dia bermain untuk pasukan Ampang Road Boys School ketika usia remaja dan selepas itu bermain untuk Selangor dalam Piala Burnley (Piala Razak) sebelum menjadi antara generasi emas bolasepak Selangor.
Khalid Ali pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali kejuaraan liga sekali pada 1984; selain turut pernah mewakili pasukan Kuala Lumpur.
Manakala kariernya di pentas antarabangsa bermula sejak ketika dia berusia 20 tahun dengan penampilan sulungnya adalah di kejohanan Piala Presiden Park 1977 di Korea Selatan, yang mana Malaysia menduduki tempat ketiga.
Pencapaian paling manisnya sudah tentulah ketika menjadi antara tunjang yang membawa skuad negara ke Sukan Olimpik Moscow 1980 bersama-sama pemain hebat lain seperti Hassan Sani, Datuk Shukor Salleh, Bakri Ibni, James Wong dan Datuk Abdah Alif.
Malaysia bimbingan Karl Heinz Weigang menjuarai Kumpulan 2 pusingan Kelayakan Asia dengan Khalid Ali menjaringkan enam gol iaitu hatrik ketika menentang Indonesia, dua gol ketika menentang Filipina dan satu ketika menentang Korea Selatan.
Weigang jugalah yang bertanggungjawab merubah posisi Khalid Ali, menjadikannya sebagai antara defensive-midfield terbaik Asia ketika itu.
“Saya memulakan karier dengan Selangor dalam Piala Burnley kemudian Piala Malaysia sebagai bek kanan sejak tahun 1975 tetapi Weigang menukar posisi saya ke bahagian defensif midfieder yang terus melekat sehingga saya bersara,” kata Khalid dalam satu temuramah beberapa tahun lalu.
Khalid Ali bersara pada pertengahan 1980-an kerana bergelut dengan kecederaan lutut yang membataskan prestasinya.
Zainal Abidin Hassan pula, menyerlah mencipta nama bersama Selangor dan Pahang di pentas domestik manakala bersama pasukan kebangsaan, merupakan antara pemain yang memiliki kaps paling banyak (116 kaps) di mana pada tahun lalu telah diiktiraf sebagai salah seorang ahli FIFA Century Club.
Sepertimana abangnya, Zainal Abidin juga permata yang digilap sejak dari usia belasan tahun, seorang yang cukup aktif dalam banyak jenis sukan malah pernah dinobatkan sebagai Pemain Sepak Takraw Terbaik peringkat MSSM sebelum serius membina karier sebagai pemain bolasepak.
Dalam kariernya yang bergemerlapan, Zainal Abidin menjulang kejuaraan liga sebanyak lima kali; Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih sebanyak enam kali; Piala FA sebanyak dua kali secara total bersama Selangor dan Pahang.
Dia diketahui sebagai pemain yang sangat serba boleh dan dominan di pelbagai posisi, bermula sebagai pemain pertahanan, kemudiannya tengah dan selepas itu diubah peranan sebagai penyerang yang menyaksikannya muncul sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah disaksikan di rantau Asia Tenggara.
Ini jelas terbukti apabila dua kali Zainal Abidin memenangi kasut emas saingan liga pada 1989 dan 1992, selain mencetak lebih 70 gol bersama pasukan kebangsaan, meletakkannya sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman skuad negara.
Antara pencapaian hebatnya bersama skuad negara adalah memenangi Pestabola Merdeka 1986, pingat emas Sukan SEA 1989 serta mengetuai skuad kebangsaan di Piala AFF 1996, walaupun Malaysia gagal muncul juara tetapi Zainal Abidin memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai.
Selepas bersara, Zainal Abidin terjun ke bidang kejurulatihan dan meletakkan namanya sebagai salah seorang jurulatih terbaik dalam Liga Malaysia.
Begitulah kisah dua beradik yang dulunya pernah mencetus fenomena dan menjadi siulan dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air.
Foto kredit : Retro Bolasepak, Google, Kelab Jersi Kita, blog chedinsphere