Khalid Ali minta Sumareh cerita kisah sebenar dan bersihkan nama Selangor

Khalid Ali
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain Selangor dan skuad kebangsaan, Khalid Ali mengakui kecewa apabila Selangor FC dikatakan sebagai dalang yang mahu mendapatkan khidmat Mohamadou Sumareh menerusi rundingan pintu belakang apabila butiran kontrak yang ditawarkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada pemain itu bocor beberapa bulan lalu.

Yang peliknya, pendedahan mengenai salinan kontrak dan screenshot perbualan antara Sumareh dengan wakil FAS dibuat oleh pihak yang tiada kena mengena iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik Johor Darul Takzim) justeru Khalid Ali berpendapat pembocoran maklumat seperti itu tidak mencerminkan sikap seorang pemain profesional.

Lebih teruk, ia turut menyebabkan FAS dikecam hebat dan wujud tanggapan buruk dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air kerana dituduh cuba berunding dengan pemain yang masih berkontrak sehingga mendorong Sumareh membatalkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) secara sebelah pihak sedangkan persatuan itu sebenarnya bertindak secara profesional.

Baca : TMJ dedahkan butiran kontrak Selangor kepada Sumareh, ditawar gaji lebih RM70,000

Kini Sumareh sudah sah menyertai Johor Darul Takzim (JDT), Khalid Ali berpendapat adalah wajar jika pemain naturalisasi Harimau Malaya itu tampil menceritakan kisah sebenar yang terjadi dan membersihkan nama Selangor FC.

“Selangor diburukkan sehingga ramai marah termasuk Pahang (PBNP), jadi sekarang kita tahulah keadaan sebenar perancangan dia (Sumareh) ingin ke JDT. Tak dinafikan dengan fasiliti dan masa depan yang baik, ramai pemain di Malaysia ingin bermain di sana.

“Tetapi ketika ini sebagai bekas pemain Selangor saya kecil hati dan dukacita sebab sebenarnya bukan Selangor menjadi punca tetapi Selangor yang dikecam.

“Selangor FC seperti menjadi kambing hitam jadi Sumareh kena tampil ke hadapan dan ceritakan keadaan sebenar di sebalik perkara itu,” ujar Khalid kepada Bernama.

Selepas kecoh mengenai butiran sulit yang bocor itu, Sumareh tiba-tiba membuat keputusan untuk menyarung jersi Police Tero FC di Thailand dan Khalid sejak dari awal lagi sudah merasakan bahawa ia hanyalah tempat persinggahan sementara pemain itu.

“Jelas tindakan serta permainan politik dia itu memang hanya beri kesan negatif kepada Selangor FC dan mencemar nama baik Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) sebagai Presiden FAS.

“Jadi beliau kena minta maaf atas perbuatan dia itu yang sehingga kini kita rasa tindakan itu tidak patut dihormati.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.