Khalid Ali Nasihatkan Arif Aiman Tidak Hanyut & ‘Hilang’ Seperti Safawi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Arif Aiman Hanapi mencipta sejarah gemilang apabila menjadi pemain termuda untuk dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai saingan Liga Malaysia di Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 pada Sabtu.

Pada usia 19 tahun, Arif Aiman mengatasi rekod terdahulu dipegang Safawi Rasid yang memenangi gelaran tersebut di usia 21 tahun pada 2018.

Kejayaan itu turut mendapat perhatian bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang mengakui akan kredibiliti bintang Johor Darul Takzim itu dan beliau mengingatkannya supaya tidak lupa diri dan hanyut dengan apa yang dikecapi pada usia terlalu muda ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada Arif. Saya ada melihat dia bermain, sememangnya budak ini berbakat dan ada potensi untuk pergi lebih jauh.

“Tapi dalam usia muda ini dia sudah capai tahap tertinggi, sudah tentu akan banyak dugaan yang akan datang. Dia kena pandai kawal diri dan jangan cepat terpengaruh dengan perkara-perkara yang bukan-bukan.

“Selaku pemain profesional dia boleh ‘enjoy’ tetapi jangan sampai hanyut dan lupa tentang kariernya. Ramai orang akan dekat dengan dia, jadi Arif Aiman perlukan bimbingan yang betul agar dia tidak jatuh.

“Dia boleh tengok contoh-contoh pemain senior di depan dia (Safawi Rasid), dulu pun menang MVP tapi selepas itu sentuhannya hilang. Inilah benda yang Arif kena ambil dan ingat baik-baik,” kata Khalid Ali kepada Arena Metro.

Arif Aiman yang ketika ini sedang bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala AFF, turut dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik dan Penyerang Terbaik di ABK 2021.

Dia pada tahun ini menjadi watak penting dalam membantu skuad harimau selatan menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut serta layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Malah, Safawi Rasid yang merupakan superstar JDT sendiri telah kehilangan tempat di dalam kesebelasan utama kepadanya dan bergelut untuk memenangi semula kepercayaan Benjamin Mora.

Sebagai rekod, Safawi Rasid yang dinobatkan sebagai MVP pada 2018 dan 2019 umpama ‘hilang dari radar’ pada musim ini malah dia yang pada ketika itu disanjung tinggi penyokong kini sentiasa menjadi sasaran kecaman penyokong.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.