Khalid Ali : “Pemain kena percaya mereka lebih hebat dari Vietnam”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menegaskan prestasi semasa Vietnam yang sedang memuncak tidak seharusnya membunuh keyakinan dan kepercayaan pemain-pemain Harimau Malaya menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan pada 11 Jun ini.

Vietnam ketika ini sedang menerajui Kumpulan G dengan 14 mata, setelah melakar empat kemenangan dan dua keputusan seri, dan mereka satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia.

Bukan sekadar itu sahaja, rekod pertemuan juga tidak memihak kepada Malaysia yang tidak pernah menang dalam lima pertemuan terakhir berdepan Vietnam (seri sekali, tewas empat kali).

Kemenangan terakhir skuad negara ke atas Vietnam adalah pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014, ketika itu skuad bimbingan Dollah Salleh menang 4-2 dan layak ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, Vietnam melakar kemenangan 1-0 menerusi jaringan Nguyen Quang Hai – pemain itu tidak dapat diturunkan pada pertemuan kali ini setelah

Menurut Khalid Ali kepada Bernama, “Kita lebih hebat berbanding Vietnam, pemain kena percaya mereka lebih bagus daripada Vietnam. Mereka (pemain) perlu bangkit dengan prestasi jauh lebih baik berbanding dalam perlawanan sebelum ini dan bermain sebagai satu pasukan. Pemain perlu bekerjasama, baru boleh atasi Vietnam.

“Kita tidak boleh turun menentang Vietnam dengan gaya permainan ketika bertemu UAE (Emiriah Arab Bersatu), kita kena lebih menyerang daripada bertahan, ia akan lebih memberi peluang kepada jentera serangan untuk bekerja dan cuba menghasilkan impak dalam permainan,” kata Khalid Ali.

Kekalahan 0-4 kepada UAE tempoh hari menyaksikan skuad negara ketika ini tergelincir ke tangga keempat Kumpulan G dan tiada pilihan selain menewaskan Vietnam dan Thailand dalam dua perlawanan berbaki jika mahu menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

Jika Malaysia berjaya dalam misi meraih enam mata dari dua perlawanan tersebut, dan kemudiannya Vietnam tewas kepada UAE dalam perlawanan terakhir kumpulan, skuad Tan Cheng Hoe akan menamatkan aksi Kumpulan G di tangga kedua. Hanya empat naib juara terbaik akan mengiringi lapan juara kumpulan ke pusingan seterusnya.

Sebaliknya kegagalan mencipta kemenangan ke atas Vietnam (seri atau tewas), peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia akan tertutup namun Harimau Malaya masih berpeluang untuk melangkah ke Piala Asia dengan beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia akan menghimpunkan baki empat lagi naib juara kumpulan; lapan pasukan di tempat ketiga, empat pasukan tangga keempat terbaik dan lapan pasukan yang menang perlawanan play-off.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.