Khalid Ali tak selera tengok jurulatih pakai jeans, minta MFL tegur jurulatih

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan dan Selangor, Khalid Ali mempersoalkan garis panduan yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) mengenai etika pemakaian seseorang jurulatih ketika perlawanan.

Mengakui kecewa dengan penampilan beberapa jurulatih yang menurutnya tidak mengenakan pemakaian sesuai dengan liga profesional, contohnya seperti jeans lusuh, Khalid Ali tegaskan penampilan sedemikian sekadar memberi imej buruk terhadap Liga Malaysia, terutamanya dalam kalangan peminat dari luar negara.

“Sebagai liga profesional, saya dukacita dengan penampilan beberapa jurulatih terutama ketika aksi Selangor dan Kedah sebelum ini. Sebagai jurulatih di padang, tidak berapa baik dari segi pakaian yang mana memakai jeans.

“Adakah FAM dan MFL membenarkan jurulatih memakai jeans? Pakai kemeja baju di luar, saya ada bercakap dengan kawan-kawan adakah ini liga profesional atau liga kampung?

“Saya rasa tak selera tengok jurulatih yang berseluar jeans. Pakai jeans pula yang lusuh, sepatutnya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL kena tengok benda ini,” kata Khalid Ali kepada BH Sukan sambil memuji penampilan jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yang dianggap menepati ciri jurulatih dan liga profesional.

“Sepatutnya jurulatih pakai ‘tracksuit’ atau pakai blazer. Anda patut tengok jurulatih JDT, pakaian mereka, penampilan dan profesional dalam menguruskan liga tertinggi di Malaysia,” tambah Khalid Ali yang menyarung jersi kebangsaan sekitar 70-an dan 80-an malah merupakan anggota skuad yang layak ke Olimpik Moscow.

Sebagai rekod, selain Benjamin Mora antara jurulatih yang sentiasa tampil dengan penampilan kemas berkemeja adalah Irfan Bakti Abu Salim, B.Sathianathan, Azraai Khor Abdullah (sinonim dengan kemeja pink), Mehmet Durakovic dan K.Devan.

Kalau diikutkan teguran Khalid Ali ini ada asasnya kerana lazimnya akan ada kod pemakaian ditetapkan bagi pegawai-pegawai pasukan, apa yang dibolehkan dan apa yang tidak.

Ini adalah perkara terbaru yang dibangkitkan Khalid Ali yang sebelum ini lantang menegur tentang konsep pembangunan skuad Projek FAM-MSN serta pemilihan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan itu, perpindahan Mohamadou Sumareh, masalah tunggakan gaji dan penswastaan Liga Malaysia serta penerapan DNA Jerman dalam pasukan Selangor.

Foto : NSTP

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.