Khalid Ali Tak Setuju Dengan FAM, Mahu Safee Sali Dipanggil

Khalid Ali
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mempunyai pandangan berbeza dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pemain yang akan dipanggil untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe baru-baru ini memberitahu beberapa pemain baru akan dipanggil untuk diuji dalam siri perlawanan persahabatan pada Oktober tatkala dia dilihat mahu memberi lebih peluang kepada pemain-pemain muda.

Malah Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) juga ada memberitahu pemilihan pemain akan lebih memberi fokus kepada mereka yang banyak minit permainan dan bukannya pemain-pemain yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Khalid Ali pula berpendapat dua pemain veteran – Safiq Rahim dan Safee Sali – juga perlu dipanggil dan diberikan peluang kerana menurutnya masing-masing masih lagi cergas selain boleh memberi lebih banyak pilihan.

“Mungkin ada ramai pemain muda di luar sana tetapi kita perlu faham bahawa di peringkat antarabangsa, ia bukan mengenai tua atau muda, tetapi mengenai tanggungjawab.

“Ada beberapa pemain muda saya lihat tidak mencapai potensi tahap antarabangsa dalam permainan mereka, ada pemain pula, memang lebih tua tetapi jika mereka boleh bermain di peringkat antarabangsa, kenapa tidak memilih mereka?

“Kita tidak boleh berterusan buat program untuk menguji dan mengajar pemain-pemain baru di dalam skuad, kita perlu memilih mereka yang sudah sedia faham dan boleh bermain kerana kita tiada masa untuk berlatih. Latihan adalah dilakukan di kelab masing-masing.

“Safee dan Safiq masih boleh menyumbang, jadi kenapa tidak gunakan mereka? Mereka bersedia dari segi fizikal dan mental, dan mempunyai kecergasan untuk bermain di peringkat antarabangsa,” kata Khalid Ali kepada NST Sports.

Agak pelik juga cadangan Khalid Ali ini, kerana Safee Sali pada hakikatnya nak tembus ke dalam kesebelasan utama KL City yang tiada penyerang tulen pun nampak susah.

Baca : Ditanya Mengenai Pemain Tempatan Kuat Merokok, Safee Sali Bagi Jawapan Luar Biasa

Berbeza dengan Safiq Rahim, pemain ini nampak seperti masih relevan dan boleh dipertimbangkan.

Sebagai rekod, Safee Sali, 37 tahun, pernah membuat keseluruhan 132 penampilan bersama skuad kebangsaan (skuad remaja dan senior) dan menjaringkan keseluruhan 47 gol.

Paling diingati sudah tentunya ketika dia menyerlah menjaringkan lima gol untuk membantu skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan muncul penjaring terbanyak pertandingan.

Safiq Rahim yang berusia 34 tahun pula membuat 106 penampilan (skuad remaja dan senior) dan menjaringkan 31 gol keseluruhan. Dia baru sahaja membantu skuad JDT menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.