Khalid Jamlus mengakui dia seorang jurulatih yang masih mentah dan masih banyak perlu dipelajarinya sebelum boleh bergelar ketua jurulatih.
Bekas penyerang kebangsaan itu berkata untuk itu, dia perlu mendapat peluang untuk berada di dalam pasukan terlebih dahulu agar dia boleh mendalami ilmu kejurulatihan daripada jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.
“Saya tidak pernah sekalipun cakap saya mahu terus menjadi ketua jurulatih, itu salah. Dari awal saya mengatakan saya mahu peluang, peluang untuk kembali terlibat di dalam bolasepak, saya tidak pernah sebut saya hanya mahu jadi ketua jurulatih kerana saya tahu saya perlu belajar.
Baca : Saya ada pengalaman, i’m somebody, takkan nak latih tukang kebun kan
“Apabila kita nak belajar, kita kena duduk di dalam (pasukan) sebab kalau duduk di luar, kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam. Sebab itulah saya cakap, kalau tiada nombor dua (penolong jurulatih), ada nombor lapan pun saya sanggup sebab saya nak duduk di dalam dan belajar.
“Itu sebenarnya perancangan saya. Kita tengok sekarang pun barisan kejurulatihan boleh sampai lapan ke sembilan orang. Secara jujurnya nombor enam atau tujuh pun boleh dengan syarat saya nak belajar.
“Saya ada bercakap dengan beberapa jurulatih dan meminta peluang kerana kalau saya tidak duduk di dalam, bagaimana saya nak teruskan perjalanan dan dapatkan pengalaman,” kata pemenang kasut emas penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 2002 itu.
Khalid Jamlus yang memiliki Lesen B kejurulatihan berkata fokus utamanya kini adalah mendapatkan Lesen A sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya dalam bidang ini.
Sebelum ini bekas pemain yang pernah beraksi dengan Perak, Selangor, Kelantan dan PDRM itu mendedahkan bahawa telah ditawarkan jawatan untuk menjadi salah seorang jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari di Gambang namun dalam dilema mahu menerimanya atau tidak kerana perlu berjauhan dengan keluarga.
Baca : Tiada layanan istimewa buat Khalid Jamlus mahupun sesiapa, sila ikut saluran
Ia kurang disenangi pelbagai pihak yang berpendapat dia diberi layanan istimewa sebelum Pengerusi Jawatankuasa NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan Khalid Jamlus sebenarnya diminta untuk memohon menjadi jurulatih di sana, dan akan melalui proses sama seperti pemohon lain.
Sumber : BH Sukan