Khalid Jamlus kepada FAM : “Nak tunggu dan kaji apa lagi?”

Khalid Jamlus
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berpendapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu membuang masa dan teragak-agak di dalam membuat keputusan menyerahkan pengurusan pasukan kebangsaan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemenang kasut emas Liga Perdana Satu 2002 itu yakin Tunku Ismail adalah individu tepat untuk menyelamatkan Harimau Malaya berdasarkan pencapaian mengagumkannya bersama pasukan Johor Darul Takzim.

“Apabila ada orang yang nak baik pulih permainan bola sepak dan pasukan kebangsaan kita, kenapa nak tangguh-tangguh lagi? Semua orang tahu kebolehan yang dimiliki Tunku dari segi fasiliti, keupayaan, staf kejurulatihan sehinggalah kepada pemain.

“Saya sendiri setuju dengan pengambilalihan pasukan kebangsaan dengan menjangkakan banyak pembaharuan akan dibuat oleh TMJ dalam pasukan Harimau Malaya. Senang cerita, apa yang dibuat Tunku nanti akan membanggakan penyokong seluruh negara.

“Jadi, kenapa nak tunggu lagi nak kaji dan sebagainya. Bagi saya sebagai penyokong mengharapkan yang terbaik buat pasukan negara terutama untuk melihat persiapan rapi bagi menghadapi saingan getir kelayakan ketiga pada bulan dua nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Baru-baru ini Tunku Ismail menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan pasukan kebangsaan susulan prestasi lesu ditunjukkan skuad Tan Cheng Hoe di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tunku Ismail menyatakan kesediaan mahu menyediakan fasiliti latihan dan barisan kejurulatihan yang terbaik dengan jaminan ada peningkatan, namun beliau tidak menjanjikan kejayaan segera.

Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin menyambut baik hasrat Tunku Ismail namun memberitahu badan induk itu tidak boleh membuat keputusan segera kerana ada prosedur dan ketetapan tertentu untuk dipatuhi.

Mengenai sama ada FAM boleh memberi sepenuh kuasa kepada Tunku Ismail atau bekerjasama dalam aspek tertentu sahaja, Khalid Jamlus menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mereka.

“Terpulang kepada FAM. Memang betul FAM sebelum ini berkuasa sepenuhnya ke atas Harimau Malaya, tetapi perkara ini boleh dibincangkan. Tunku sudah menyatakan hasrat dan kenapa tidak ia diteruskan.

“Setiap orang ternantikan sebuah pasukan Harimau Malaya yang cukup digeruni seperti era 70 dan 80-an. Mungkin inilah satu permulaan ke arah yang membanggakan,” kata Khalid Jamlus yang menyarung jersi skuad kebangsaan dari tahun 1998-2005.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.