Khalid Samad Yakin KL City Juarai Liga Super 2022, Noktahkan Dominasi JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Khalid Samad melaungkan keyakinan tinggi betapa pencapaian KL City tidak akan ternoktah setakat kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2021 baru-baru ini.

KL City yang dibimbing Bojan Hodak mencipta sensasi dan kejutan besar musim ini apabila menewaskan pasukan pilihan Johor Darul Takzim 2-0 dalam aksi final untuk memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dalam 32 tahun.

Menurut Khalid, ia hanyalah permulaan dan tahun depan mereka bukan sahaja akan mempertahankan piala berprestij itu, tetapi akan turut menjuarai Liga Super sekaligus menoktahkan penguasaan JDT yang menang selama lapan tahun berturut-turut.

“Tahun depan, saya minta maaflah kepada Johor, Kedah, Terengganu dan sebagainya. Tahun depan kita akan jadi juara liga dan juara Piala Malaysia. InsyaAllah,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Kejayaan menjulang Piala Malaysia pada ketika tiada harapan tinggi diletakkan memang wajar dibanggakan, namun untuk segera meletakkan satu sasaran yang begitu tinggi, walaupun beliau mungkin juga sekadar berseloroh, hanya akan dilihat sebagai bahan jenaka.

Jika itu kenyataan daripada Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berbeza pula nada disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Stanley Bernard Samuel yang nampak lebih realistik dan nampak matang.

Beliau juga mengakui pasukan itu masih dalam pembinaan dan perlukan lebih masa untuk menjadi pencabar yang kuat, malah khuatir jika mereka boleh berikan saingan dalam Piala AFC tahun depan.

“Kita menang Piala Malaysia dengan tewaskan JDT tak bermaksud kita lebih baik dari mereka. Padang latihan pun KL City tiada.

“Saya tak pasti 20 tahun sebelum ini apa yang kelab lakukan kerana selepas saya ambil alih, tiada padang latihan. Jadi nak banding dengan JDT? KL City belum bersedia untuk Piala AFC, dan banyak perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.”

Dalam saingan Liga Super 2021, KL City menduduki tangga keenam dan lebih menarik satu-satunya pasukan yang tidak tewas di gelanggang sendiri dalam semua pertandingan musim ini.

Musim gemilang mereka dilengkapkan dengan kejayaan Bojan Hodak memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 manakala Romel Morales pula dinobatkan Pemain Import Terbaik.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.