Khamal Idris Ali, tekong takraw yang mencipta nama sebagai generasi emas Kedah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika tanya pada penyokong Kedah, Khamal Idris Ali pastinya diakui sebagai salah seorang pertahanan terbaik pernah disaksikan dalam jersi Hijau Kuning.

Membuat penampilan bersama skuad utama Kedah pada 1989, Khamal Idris menoktahkan karier sebagai pemain dengan pencapaian cukup membanggakan, menjulang semua trofi domestik bermula dengan Piala Malaysia pada 1990; Piala Sumbangsih 1991 dan 1994; Liga Divisyen Dua 1992, Liga Divisyen Satu 1993 dan terakhir Piala FA pada 1996.

Bagi yang tidak tahu, ketika menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid pada usia remajanya, Khamal Idris merupakan pemain sepaktakraw negeri Kedah, bermain di posisi tekong malah pernah menyarung jersi kebangsaan di Kejohanan ASEAN.

Dua individu yang bertanggungjawab mengesan bakat dan membawanya ke dalam dunia bolasepak adalah jurulatih Kedah ketika itu Ahmad Shafie dan Kassim Saad yang merupakan pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid.

Kalau diikutkan minat Khamal Idris terhadap bolasepak sudahpun timbul sejak sekolah rendah, ketika berulang alik antara sekolah dan rumahnya, melepasi padang yang sentiasa menjadi tumpuan di Bukit Selambau, Sungai Petani. Ditambah dengan dorongan dan sokongan daripada Ahmad Shafie dan Kassim Saad, maka Khamal Idris memilih untuk berkecimpung lebih serius dalam bolasepak.

Dari situ bermula perjalanan Khamal Idris menempa nama dan mengorak langkah dalam arena bolasepak tanah air, dengan penampilan pertama dalam skuad utama Kedah adalah pada musim 1989.

Setelah lebih banyak bertindak sebagai pemain gantian di awal karier berikutan adanya ramai pemain-pemain berpengalaman di benteng pertahanan Kedah, Khamal Idris berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemain tonggak pada awal 90-an, mengemudi pertahanan dengan cemerlang dan membantu sang kenari terbang tinggi memenangi kejuaraan demi kejuaraan.

Aksi cemerlang menyaksikannya diserap ke dalam skuad pelapis kebangsaan (Barcelona 1992) di bawah kendalian Chow Kwai Lam sebelum dia kemudian memenangi kepercayaan mewakili pasukan senior kebangsaan di beberapa kejohanan besar sekitar pertengahan 90-an yang juga detik gemilang kariernya.

Selepas hampir 10 musim bersama Kedah, Khamal Idris menyertai skuad revolusi Kelantan pada 1999 bersama-sama Nidzam Adha Yusoff dan semusim kemudian kembali menyarung jersi Kedah, sebelum menoktahkan karier dengan bermain untuk JKR Kedah pada 2002 dan 2003.

Selepas bersara Khamal Idris tetap menabur bakti kepada bolasepak termasuklah sebagai jurulatih, pengurus pasukan, malah beliau juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah.

Rujukan utama : Arena Hijau Kuning; Foto : Lang Merah Fan’s Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.