Kiko Insa bertanggungjawab yakinkan Manuel Hidalgo sertai Sri Pahang?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong Sri Pahang jelas teruja dengan kelibat pemain import baru, Manuel Hidalgo yang pantas membawa impak kepada pasukan seawal perlawanan pertama.

Pemain dari Argentina itu menjaringkan satu gol, dan kemudiannya mencipta assist untuk gol penyamaan pada masa kecederaan yang membantu mengikat Selangor 2-2 di Stadium Darul Makmur.

Rata-rata penyokong berpendapat pengurusan telah mencari pemain tepat untuk menggantikan Yevhen Bokhashvili dan mereka sewajarnya berterima kasih kepada individu yang bertanggungjawab meyakinkan Manuel Hidalgo memilih menyarung jersi Sri Pahang setelah dia membuat keputusan meninggalkan Sheffield Wednesday.

Ia tidak lain, ejen kepada pemain itu di mana Manuel Hidalgo mengakui berjaya meyakinkannya memilih Sri Pahang.

“Ketika di England, saya teringin nak tahu tentang Malaysia dan ejen saya beritahu makanan di sini sangat bagus, keadaan cuaca juga bagus. Saya benar-benar gembira dapat berada disini.

“Dia beritahu segalanya tentang Malaysia. Saya beritahunya saya hanya mahu bermain serta terus bermain bersama Pahang dan saya sangat gembira,” kata Manuel Hidalgo.

Siapakah ejen Manuel Hidalgo? Berdasarkan komen oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim di posting instagram, beliau menyatakan ejennya adalah Francisco Insa Bohigues atau lebih dikenali sebagai Kiko Insa yang juga bekas pemain Sri Pahang dan ketika ini bertindak sebagai Penolong Bahagian Pemantau Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT).

TMJ Kiko Insa Kiko Insa bertanggungjawab yakinkan Manuel Hidalgo sertai Sri Pahang?

Begitupun, menerusi perkongsian beberapa pembaca kepada Labola Malaya, mereka memberitahu ejen pemain itu bukan Kiko Insa sepertimana tersebar, tetapi Lucas Cominelli yang merupakan bekas pemain import Pahang pada 2004.

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu turut memberitahu dia masih belum cergas sepenuhnya dan akan mengambil peluang cuti panjang selama dua bulan nanti untuk menjalani latihan meningkatkan staminanya.

“Saya belum cergas lagi, saya boleh merasainya dalam badan tetapi saya harap selepas satu perlawanan dan ketika liga berehat 1-2 bulan nanti saya akan kembali cergas sepenuhnya dan membantu pasukan menjadi lebih baik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketua jurulatih Sri Pahang Dollah Salleh pula memuji komitmen tinggi kesemua tiga pemain import barunya iaitu Abu Bakar Yakubu, Kenny Athiu dan Hidalgo sendiri meskipun mereka diturunkan secara ‘tergesa-gesa’.

“Ketiga-tiga pemain import ini kita dah boleh nampak sedikit sebanyak kelebihan mereka cuma kita faham mereka baru sahaja baru habis tempoh kuarantin, macam Kenny baru sahaja sampai Kuantan pada hari perlawanan, tetapi kita nak juga dia beraksi.

“Mungkin agak bergelut sedikit dengan kecergasan, tetapi saya tetap bersyukur kami akhirnya dapat menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir.

“Hidalgo pula saya tidak sangka dia boleh menghabiskan 90 minit permainan sebab pada minit 70, dia dah bagi isyarat seperti rasa kekejangan tetapi dia cakap dekat saya yang dia nak juga teruskan sampai habis”, katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.