Kim Swee Mahu FAM Calonkan Gol Park Tae Soo Untuk Anugerah Puskas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sabah meraih satu mata dalam aksi sulung Piala Malaysia pada Isnin setelah terikat 1-1 menentang PJ City tetapi apa yang lebih mencuri perhatian adalah jaringan jarak jauh dilakukan Park Tae Soo.

Sepakan percuma dari jarak kira-kira 40 meter itu meroket ke gawang PJ City dan menewaskan Kalamullah Al Hafiz pada minit ke-20 untuk gol pendahuluan Sabah.

Ia ternyata memukau penyokong bolasepak tanah air malah turut mendapat perhatian daripada FIFA serta media antarabangsa.

Pengendali Sabah, Dato’ Ong Kim Swee ketika temubual di Nadi Arena menganggap jaringan itu bertaraf dunia dan mahu ia dicalonkan untuk Anugerah Puskas.

“Jaringan bertaraf dunia yang dilakukan Park itu akan memberikan impak kepada liga kita.

“Di situ terbukti bahawa liga kita mempunyai mutu yang cukup tinggi dan kita juga mempunyai pemain import yang baik.

“Pada masa sama, ia akan memberikan lebih keyakinan buat pemain yang beraksi dalam liga kita, terutama pemain Sabah, di mana ia mendapat pengiktirafan yang sebegitu besar.

“Kemungkinan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan dan pemain itu sendiri, sama ada kami boleh mendapatkan persetujuan daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk mencalonkan jaringan itu bagi Anugerah Puskas FIFA,” kata Ong Kim Swee.

Sementara itu mengenai aksi pertama Sabah di bawah bimbingannya, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata dia melihat peningkatan dan banyak perkara positif dalam corak permainan barisan pemainnya.

“Mendapatkan satu mata merupakan satu keputusan yang baik, terutama ketika beraksi di laman lawan. Namun, saya percaya kami masih mampu memperbaiki prestasi, di mana kami mempunyai banyak peuang tetapi tidak dapat jaringan yang kami mahukan. Ia meletakkan kami dalam satu situasi tertekan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya baru bersama pasukan selama seminggu dan sudah tentu kami masih belum dapat melakukan banyak perubahan. Apabila pemain cuba mengadaptasi corak permainan saya, sudah tentu akan ada kelemahan juga.

“Selepas menjaringkan gol, kami seperti terlena seketika dan ia memberikan ruang buat PJ City untuk mendapatkan gol penyamaan. Ia satu perkara yang tidak boleh kami ulangi, di mana kami perlu kekal fokus sehingga tamat permainan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.