Kisah dua anak muda tubuhkan DDM FC yang kini dikenali Melawati FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bermula sekadar untuk bermain di liga sosial, pasukan Dak Dak Melawati (DDM FC) atau sekarang dikenali dengan nama Melawati FC, merupakan antara pasukan tumpuan dalam Liga M3 2020.

Kita ketahui sedikit sebanyak kisah penubuhan kelab kecil yang bercita-cita mahu menjadi antara pasukan gergasi Liga Malaysia ini, hasil nukilan wartawan Labola Malaya, Rodly Fadly yang mana telahpun disiarkan beberapa bulan lalu di facebook kami dan kini disiarkan semula dengan tambahan info.

Firdaus Kamar Ariff dan Azzlan Azzam mungkin bukan ‘siapa-siapa’ atau hanya ‘biashe-biashe’ dalam landskap bola sepak Malaysia jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh lain namun di kalangan komuniti Taman Melawati, Kuala Lumpur, mereka merupakan figura yang sangat dikagumi.

Firdaus dan Azzlan, kedua-duanya berusia 33 tahun, merupakan anak jati Taman Melawati. Mereka dibesarkan, bersekolah malah sehingga kini menetap di sana dan merupakan pengasas DDM FC.

Minat dua sahabat itu yang mendalam terhadap bola sepak menyaksikan mereka menubuhkan kelab futsal, Young Titans (YT) pada 2007 dan menjuarai satu pertandingan sehingga memenangi hadiah utama bercuti di London pada 2013.

Pada 2014, Firdaus dan Azzlan menubuhkan DDM FC dengan matlamat menaikkan mutu bola sepak Taman Melawati, sekaligus membekalkan platform untuk anak-anak muda taman berkenaan untuk pergi jauh dalam arena bola sepak Malaysia.

Sebagai rekod, DDM FC pernah menjuarai Liga Lembah Kelang tiga tahun berturut-turut pada tahun 2014, 2015, dan 2016 dan pernah menjuarai Liga Perdana Sosial Selangor pada 2018 yang melayakkan mereka ke Liga M3 tahun 2019.

“Semasa penubuhan DDM FC, kami berhasrat untuk sekadar bermain dalam liga kecil di sekitar Lembah Kelang tapi luar jangkaan kami, kelab ini mampu pergi sejauh ini. Ia adalah atas sokongan warga Melawati, rakan dan masyarakat sekeliling. Kami buat semua ini untuk masa depan bola sepak taman kami dan berharap ada pihak yang nampak akan usaha kami ini,” ujar Azzlan yang merupakan pemilik syarikat Kazza Network.

Tambahnya lagi, “Kami bermula dengan tidak mempunyai penaja. Saya dan Firdaus menggunakan duit kami sendiri untuk menggerakkan DDM dalam kapasiti kami sendiri, tidak mewah dan segalanya sekadar cukup-cukup sahaja. Kami mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menaja bagi memastikan kesinambungan kelab ini.”

Firdaus dan Azzlan DDM FC 2 Kisah dua anak muda tubuhkan DDM FC yang kini dikenali Melawati FC

Sementara itu, menurut Firdaus pula, “Saya merupakan salah seorang pemain terawal pasukan ini, apabila layak bermain di Liga M3 (2019), Azzlan memanggil semula saya untuk membantu beliau dalam pengurusan pasukan.

“Sepanjang tahun 2019, kami sukar untuk mendapatkan penajaan dari mana-mana pihak. Mungkin kerana status kelab DDM FC lebih kepada kelab persendirian dan dimiliki oleh individu. Oleh sebab itu, saya dan Azzlan mengambil langkah mendekatkan lagi pasukan kepada penduduk Melawati sebab kami nampak sesebuah kelab itu perlukan satu fan base dan penyokong setempat.

“Memandangkan DDM FC berasal dari Melawati, kami menggunakan pemain-pemain yang rata-ratanya dari Melawati sendiri dan dari kejiranan Taman Melawati seperti Setiawangsa, Wangsa Maju dan Keramat. Kami kemudiannya bertukar kepada Melawati FC supaya team ini lebih dekat dengan penyokong dan wujud ‘sense of belonging’ penyokong kepada Taman Melawati.

“Kami tidak ketinggalan libatkan pasukan dengan NGO, kelab persatuan dari Taman Melawati, kami juga telah mendapat sokongan dari ahli majlis MPAJ, adun Hulu Klang (YB Saari Sungib ) dan sebagainya. Malah sekarang kami masih berusaha bekerjasama dengan badan-badan seperti Zoo Negara (terletak di Taman Melawati), dapatkan sokongan dari YB Azmin Ali (Parlimen Gombak) untuk mengukuhkan lagi pasukan.”

Firdaus bagaimanapun mengakui dia dan Azzlan kini sudah kurang terlibat dengan pasukan sebaliknya lebih banyak bertindak sebagai pemerhati kerana pengurusan pasukan sudahpun dibuka untuk diuruskan sendiri oleh penduduk Taman Melawati.

“Pernah ada penaja hendak menaja kami tapi ingin bawa kelab ini keluar dari Taman Melawati dan kami menolak bulat-bulat tawaran itu kerana bagi kami DDM adalah milik taman ini, apa pun yang terjadi kami akan memastikan kelab ini tetap berada di Taman Melawati. Mungkin tiada siapa sedar jerih-perih kami untuk membangunkan DDM FC tapi kami percaya atas usaha serta doa, insya-Allah kelab ini akan menjadi salah sebuah gergasi bola sepak Malaysia satu hari nanti,” katanya.

Melawati FC telahpun mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman luas, Mat Zan Mat Aris untuk membimbing pasukan itu musim ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.