Kisah Kebangkitan Menakjubkan Hafiz Hashim Mengegar All England

Hafiz Hashim
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hakcipta penulisan milik sepenuhnya Labola Malaya, sebarang penerbitan semula sila backlink kepada link asal. Terima kasih.


Tanggal 17 Februari 2003, sejarah tercipta di Birmingham Arena apabila anak muda berusia 20 tahun dari Kelantan, Hafiz Hashim mengegar arena badminton dunia dengan memenangi gelaran berprestij All England.

Kemenangan Hafiz, satu kejutan cukup besar dalam sejarah 104 tahun kejohanan terulung itu, bukan sahaja kerana usia mudanya, tetapi juga kerana dia bertandang ke Birmingham dengan status bukan pilihan walaupun beberapa bulan sebelumnya dia baru sahaja memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2002, malah dilakukan penuh bergaya dengan menewaskan pemain pilihan utama, yang juga pemain nombor satu dunia ketika itu, Chen Hong.

Kejayaan 17-14 dan 15-10 menjadikannya pemain Malaysia pertama memenangi gelaran acara perseorangan All England dalam tempoh 37 tahun; pemain bukan pilihan pertama untuk muncul juara dalam tempoh 15 tahun dan lebih manis anak melayu pertama memahat nama sebagai juara.

Hafiz Hashim All England Champion Kisah Kebangkitan Menakjubkan Hafiz Hashim Mengegar All England

Dia melakukan apa yang gagal dilakukan beberapa pemain hebat sebelumnya seperti Punch Gunalan (1974); jurulatihnya Misbun Sidek (1986); Foo Kok Keong (1991); Rashid Sidek (1996) dan Ong Ewe Hock (1998) yang semuanya tewas pada perlawanan akhir.

Ironinya, Hafiz Hashim tidak pernah melepasi pusingan ketiga dalam tiga edisi sebelumnya, tetapi kali ini dia jelas berada dalam kelas tersendiri – menewaskan Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) di pusingan pertama; Shoji Sato (Jepun) di pusingan kedua; Anders Boesen (Denmark) di pusingan ketiga; rakan senegara Yong Hock Kin di suku akhir; dan kemudiannya Chen Yu (China) di separuh akhir.

Menentang Chen Hong dalam aksi final yang menggoncang jantung, Hafiz Hashim menterjemahkan kebangkitan sensasi apabila mengejar daripada ketinggalan lima mata (9-14) dan tiga kali menggagalkan Chen Hong di game point ketika kedudukan 12-14 set pertama.

Dia seperti tidak langsung tertekan, tampil luar biasa dan berada pada prestasi terbaik karier, tenang menguasai gelanggang dan berjaya mengimbangi permainan pantas Chen Hong, memenangi permainan di jaring, mematahkan smash demi smash padu dari Chen Hong. Selepas menyekat Cheng Hong tiga kali di game point, dia tidak lagi berpaling, mengutip lima mata berturut-turut untuk menang 17-14.

Set kedua menjadi lebih mudah, tatkala Chen Hong masih gagal memahami apa yang disaksikannya dalam kelibat Hafiz Hashim pada set pertama, pemain itu menunjukkan kekuatan mental dan keyakinan cukup tinggi untuk mudah mendahului 5-2, 11-6 dan 14-8 sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan 15-10 dalam masa 53 minit, lantas sejarahpun tercipta, menyaksikannya mengulangi pencapaian yang kali terakhir dikecap melalui Tan Aik Huang pada 1966.

Sahut cabaran Misbun, sasaran awal hanyalah suku akhir

Mengakui kejayaan di All England sebagai kejayaan yang paling indah dalam karier, Hafiz Hashim berkata sebelum bertolak ke England pada 8 Februari, jurulatih Datuk Misbun Sidek telah mencabarnya untuk membuktikan sesuatu di All England kerana setakat memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2002 belum cukup hebat lagi berikutan di sana tiada pemain dari China, Indonesia mahupun Denmark. 

“Ia adalah penampilan keempat saya di All England, pada tahun itu fokus saya tertumpu pada kejohanan ini, tapi saya memang tak sasar menang kejuaraan walaupun prestasi tengah baik kerana saya ketika itu berada di ranking 33 dunia.

“Pada awalnya sedikit bimbang selepas melihat undian pusingan pertama dah bertemu Sony Dwi Kuncoro, bukan mudah, tapi saya cakap kepada diri sendiri bahawa ia bukan mengenai siapa yang akan saya jumpa. Ia adalah mengenai diri saya, jika saya dapat kawal cara bermain, saya akan dapat serlahkan potensi sebenar dan dapat lebih keyakinan,” katanya kepada Labola Malaya. 

“Saya cuba melepasi pusingan pertama dan sasaran awal adalah memperbaiki rekod peribadi dan cuba layak sehingga suku akhir. Tetapi selepas mengejutkan Anders Boesen di pusingan ketiga, keyakinan saya bertambah. Ia kemenangan mudah ke atas Hock Kin tetapi mencabar apabila menentang Chen Yu kerana itu kali pertama saya bertemu dia. 

“Selepas ke final, berdebar jugaklah menanti sama ada jumpa Chen Hong ataupun abang saya, Roslin. Ia perasaan bercampur baur, sebagai adik, saya nak Roslin masuk final dan ia satu lagi sejarah adik-beradik jumpa di final, dan kejuaraan sudah pasti milik Malaysia. Chen Hong pula pemain nombor satu dunia dan juara bertahan. Tapi Roslin kalah walaupun masa set pertama dah leading Chen Hong lima mata.

Percaya kepada diri, jangan takut kalah

“Dalam aksi final, saya tahu harapan yang diletakkan seluruh rakyat Malaysia ke atas saya cukup tinggi apatah lagi saya pernah tewaskan Chen Hong dua kali sebelum itu. Saya tenang dan turun tanpa tekanan, kerana saya sedar saya adalah pemain bukan pilihan, jadi tiada apa nak rugi. Cuma saya tetap tanam tekad untuk lakukan sesuatu, dan balas dendam untuk abang. 

“Memang luar biasa untuk saya bangkit pada set pertama, ia dibantu keinginan saya sendiri. Sepertimana saya kata jika saya boleh kawal cara bermain, saya akan dapat keyakinan. Percaya kepada diri sendiri dan jangan takut untuk kalah dan saya berjaya lakukannya.

“Ketika di set kedua, saya dapat rasa Chen Hong sudah mula gugup dan mungkin tertekan, saya lebihkan permainan menyerang dan memaksa dia buat kesilapan,” kata Hafiz Hashim yang menang US$10,000 (RM38,000) di atas kejayaan tersebut.

Kemenangan bersejarah Hafiz Hashim itu bagaimanapun tidak disaksikan oleh Roslin, yang ketika perlawanan berlangsung mengejar penerbangan pulang ke Malaysia.

Kejayaan disambut meriah

Kejayaan anak muda berasal dari Kampung Sireh itu mengharumkan nama negara menyaksikan jutaan peminat badminton tanah air tidak putus bersorak riang (ketika itu tiada facebook, twitter, instagram atau media sosial lain untuk berkongsi kegembiraan). Kedai kopi, kawasan perumahan, sekolah-sekolah, radio, televisyen malah seluruh bandar diwarnai sorakan riang anak-anak muda yang menyaksikan sendiri Hafiz mencatat sejarah.

Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad, isterinya yang juga Penaung BAM Dr Siti Hasmah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishamudin Tun Hussein turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah.

Hafiz Tok Guru Kisah Kebangkitan Menakjubkan Hafiz Hashim Mengegar All England

Kepulangannya ke Kota Bharu disambut meriah, dengan hampir 1,000 orang diketuai Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Tok Guru memakaikannya tengkolok dan mengiringinya pulang ke rumah, dan pada malam sama (20 Februari) kerajaan Kelantan mengadakan satu majlis khas meraikan Hafiz Hashim di Hotel Ansar, selain menyampaikan sumbangan RM5,000 kepadanya.

Hafiz Hashim turut menerima pelbagai ganjaran lain selepas itu, termasuklah daripada Kementerian Belia Sukan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.