Kisah K.Devan julang Liga Super sebanyak tiga kali dalam lima musim

BANGI 01 January 2012. Jurulatih Felda United FC K, Devan ketika sesi latihan di Padang Pusat Latihan Bank Simpanan Nasional BSN, Bangi. NSTP / Zulfadhli Zulkifli.
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

K.Devan boleh dikatakan sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya dalam arena bolasepak Liga Malaysia, dan satu-satunya jurulatih tempatan yang pernah menjulang trofi Liga Super sebanyak tiga kali, bersama dua pasukan berbeza.

Devan memenangi Liga Super buat pertama kali bersama Negeri Sembilan pada musim 2005/06 dan mengulangi pencapaian itu bersama Selangor pada musim 2009 dan 2010.

Tidak ada jurulatih lain yang berjaya menyamai pencapaian Devan itu dengan Azraai Khor Abdullah (2007, 2008); Bojan Hodak (2012, 2014); Mario Gomez (2015, 2016); dan Benjamin Mora (2019, 2020) kesemuanya menang sebanyak dua kali.

Pengendali yang kini kembali melatih Negeri Sembilan buat kali ketiga itu juga pernah menjulang Piala FA, Piala Sultan Hj Ahmad Shah (Sumbangsih), trofi Liga Premier bersama Kuala Muda Naza serta dua kali dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan. Hanya Piala Malaysia tidak ada dalam koleksinya.

TUAI KEJAYAAN SEGERA

Negeri Sembilan adalah pasukan pertama dibimbing Devan pada 2003 selepas terjun ke bidang kejurulatihan dan dia berhasil menuai kejayaan segera.

Pada tahun sulungnya sebagai jurulatih, Devan memacu Negeri Sembilan menjuarai Piala FA dengan menewaskan Perlis 2-1 dalam aksi final.

Dia membimbing pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2005 (tewas kepada Selangor dalam aksi final) yang membolehkan mereka mara beraksi buat pertama kali di Liga Super pada musim 2005/06.

Di sebalik berstatus ‘pendatang baru’ skuad hoben jang hoben mencuri tumpuan ramai apabila membuka tirai aksi dengan langkah kanan, menewaskan bekas juara Pahang 1-0 menerusi jaringan Anuar Jusoh.

Mereka bagaimanapun kembali berpijak di bumi nyata apabila tewas kepada Selangor MPPJ 0-3 pada perlawanan kedua sebelum bangkit melakar empat kemenangan berturut-turut ke atas Pulau Pinang (2-0); Telekom Melaka (1-0); Selangor (2-0) dan Perlis (2-1) sebelum rentak kemenangan dinoktahkan Perak pada perlawanan ketujuh yang juga perlawanan terakhir pusingan pertama.

Negeri Sembilan memulakan aksi pusingan kedua dengan tiga kekalahan 0-1 di tangan Pahang, Selangor MPPJ dan Pulau Pinang.

Selepas empat kekalahan berturut-turut, jaringan tunggal Khairul Anuar Baharom memastikan mereka kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Telekom Melaka 1-0 pada perlawanan kesebelas, dan ia disusuli kemenangan 2-1 ke atas Selangor.

Selepas seri tanpa jaringan menentang Perlis, Negeri Sembilan menutup pusingan kedua dengan membelasah Perak 5-1.

Pusingan ketiga menyaksikan skuad K.Devan bermula dengan seri 1-1 menentang Pahang dan seterusnya menang ke atas Selangor MPPJ (2-1) dan Pulau Pinang (2-0) sebelum seri menentang Telekom Melaka (0-0) serta Selangor (1-1).

Negeri Sembilan mengesahkan kejuaraan pada pada perlawanan ke-20 dengan menewaskan Perlis 1-0 menerusi jaringan tunggal Christian Bekamenga dan menutup tirai musim 2005/06 dengan kemenangan 2-0 ke atas Perak.

UBAH WAJAH BOLASEPAK SELANGOR

Pencapaian Devan muncul juara bersama Selangor lebih hebat kerana dalam kedua-dua musim (2009 dan 2010) saingan berlangsung membabitkan 14 pasukan dan 26 perlawanan keseluruhan.

Pada 2009, Devan memacu Selangor muncul juara dengan melakar 20 kemenangan dan tiga keputusan seri, tewas pula hanya tiga kali. Selangor menamatkan musim dengan 63 mata, tujuh mata mengatasi Perlis dan 12 mata mengatasi pasukan Kedah.

Devan juga menjadikan Selangor ‘goal-machine’ apabila meledak 64 gol dan bolos hanya 21 gol.

Pencapaian hampir sama dilakukan pada 2010 apabila Red Giants muncul juara Liga Super dengan 63 mata hasil 20 kemenangan, tiga keputusan seri dan tiga kali tewas, selain menjaringkan 62 gol dan bolos 23 kali, sekaligus menjulang Liga Super kali ketiga dalam lima musim.

Ia bukan sahaja menjadi trofi terakhir dimenangi K.Devan, tetapi juga merupakan kali terakhir Selangor menjulang Liga Super.

Meskipun merupakan salah seorang jurulatih paling berjaya dalam arena bolasepak tempatan dan boleh berbangga sebagai satu-satunya jurulatih menang Liga Super tiga kali, Devan bagaimanapun tidak pernah memenangi  sebarang trofi dalam 10 tahun terakhir kariernya di mana dia telah bersama pasukan Johor FC, Felda United, Pulau Pinang, Negeri Sembilan (kali kedua), Kelantan dan PJ City.

Mungkinkah dia akan menoktahkan penantian itu pada tahun ini?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.