Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakKisah kelakar Diego Forlan jadi punca kad kuning dilayangkan kalau buka baju

Kisah kelakar Diego Forlan jadi punca kad kuning dilayangkan kalau buka baju

Diego Forlan layak dilabel sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia tetapi dia gagal mencipta impak besar di Liga Perdana Inggeris.

Dia menyarung jersi Manchester United tidak sampai tiga musim dan dianggap pembelian yang gagal, tetapi dalam tempoh singkat di Old Trafford, ada dua sebab penting untuk dia diingati.

Pertamanya kerana dua gol jaringannya yang membantu skuad Alex Ferguson menewaskan musuh ketat, Liverpool 2-1 di Anfield pada musim 2002/2003 sekaligus menyaksikan Red Devils merampas semula kejuaraan dari tangan Arsenal.

Manakala yang kedua, atas sebab yang memaksa FIFA untuk memperkenalkan peraturan baru iaitu layangan kad kuning sekiranya membuka baju selepas menjaringkan gol.

Baca : Mengingati detik bagaimana Diego Forlan merubah peraturan bolasepak

Kejadian berlaku pada 2 November 2002 ketika Manchester United melayan kunjungan Southampton di Old Trafford dengan kedudukan terikat 1-1.

Forlan masuk menggantikan Philip Neville pada minit ke-79 dan penyerang Uruguay itu hanya memerlukan enam minit untuk menjaringkan gol menerusi rembatan cantik dari kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh Anti Niemi.

Dalam keadaan teruja, Diego Forlan membuka baju dan berlari ke arah penyokong bagi meraikan jaringan tersebut – sehingga ke saat itu tiada undang-undang atau peraturan kad kuning untuk kesalahan membuka baju.

Ketika perlawanan dimulakan semula, Forlan mendapati dia belum menyarung baju, berdepan kesukaran untuk melakukannya justeru terpaksa untuk bermain dalam keadaan tidak berbaju selama beberapa saat – dah seperti budak-budak kampung main bola petang.

Malah dengan baju masih di tangan, dia sempat untuk mencuri tumpuan dengan memenangi perebutan bola dan menghalang larian dilakukan James Beattie ke gawang United.

Bola terpaksa dikeluarkan dari permainan untuk membolehkan dia memakai semula baju dengan bantuan pegawai pasukan dan United kemudiannya berjaya mempertahankan kelebihan untuk mengesahkan tiga mata.

Mengimbau insiden kelakar itu, Forlan berkata, “Saya anggap ia salah satu gol terbaik dalam karier saya, pertamanya kerana saya baru beberapa minit berada di atas padang, keduanya ia gol yang sangat cantik dan ketiga ia menghadiahkan kemenangan kepada pasukan.

“Satu-satunya masalah dengan gol itu adalah saya buka baju dan tidak dapat memakainya semula, ketika saya mahu melakukannya perlawanan sudah dimulakan dan saya terpaksa bermain dengan baju di tangan.

“Saya tidak boleh berhenti sekejap semata-mata untuk menyarung baju, ia detik lucu yang akan saya sentiasa beritahu kepada kawan-kawan.”

FIFA bagaimanapun tidak melihat ini dari sudut kelakar tetapi menganggap ia sebagai tidak menghormati semangat kesukanan lantas bertitik tolak dari insiden tersebut mereka memperkenalkan peraturan kad kuning dikenakan bagi tindakan meraikan jaringan dengan membuka baju.

 

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.