Kisah pasukan JKR Kelantan yang bungkus selepas hanya dua musim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelab Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan layak beraksi di Liga Perdana Dua (sekarang dikenali Liga Premier) pada tahun 2000 setelah menjuarai saingan Liga FAM 1999 dengan menewaskan KL Malay Mail 5-2 dalam aksi final.

Tidak seperti sebuah lagi pasukan senegeri TNB Kelantan yang bertahan selama tujuh musim, jangka hayat JKR Kelantan dalam Liga Malaysia adalah sangat pendek iaitu hanya dua musim sahaja dari 2000 – 2001.

Tetapi dalam tempoh itu JKR Kelantan telah berjaya mencipta sensasi dan buat seketika menjadi satu fenomena dalam arena bolasepak tempatan dengan mempunyai kumpulan penyokong fanatik tersendiri.

Salah satu sebab utama adalah kerana mereka mempunyai ramai pemain-pemain terbaik tempatan dan boleh dikatakan kelab terawal untuk memulakan trend merekrut pemain-pemain berprofil tinggi sama ada dari kalangan bekas pemain-pemain negeri mahupun kebangsaan ke dalam pasukan.

Antara pemain menyertai JKR yang tampak bernafsu mahu memburu gemilang dan membantu mereka menjuarai Liga FAM adalah beberapa bekas pemain Kelantan seperti Rosli Rejab, Rojani Hussain, Bakri Mohamad, Hafiz Mohd Romi, Aziz Mustapa, Rosli Ismail, Adnan Musa, Fauzi Musa dan Azahar Ismail selain bekas penjaga gol Terengganu Wan Kamarulzaman Wan Mohamad.

Menarik ramai nama berprofil tinggi sertai pasukan

Ia tidak berhenti di situ, kejayaan melangkah beraksi di Liga Perdana Dua menyaksikan JKR Kelantan semakin mengukuhkan reputasi dan berjaya menarik lebih ramai pemain berkualiti menyertai mereka bagi musim 2000.

Antaranya penjaga gol yang cukup terkenal Halim Napi, bekas kapten Kelantan Zahasmi Ismail dan tidak ketinggalan bintang kesayangan Kota Bharu, Hashim Mustapha yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Malaysia 1993 dan 1994.

Baca : ‘Penyerang takut pergi dekat Halim Napi’

Hashim sebenarnya telahpun lebih awal dikaitkan untuk menyertai JKR pada awal 1999 bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga pembantu jurulatih setelah dia membuat keputusan tidak menyambung kontrak dengan Kelantan gara-gara kecewa dan merajuk dengan layanan dari pasukan itu.

Zahasmi Ismail pertahanan Kelantan Kisah pasukan JKR Kelantan yang bungkus selepas hanya dua musim
Zahasmi antara pemain perkuatkan JKR Kelantan

Tetapi ketika itu Hashim memilih menerima lamaran Johor dan pulang menyarung jersi JKR pada 2000. Dengan kelibat begitu ramai bekas pemain negeri, ia dalam masa sama menandakan bermulanya perseteruan setempat antara Kelantan dan JKR Kelantan.

Pada musim kedua yang juga musim terakhir mereka pada 2001, giliran penjaring terbanyak skuad juara Liga Perdana Dua Kelantan, Zoolihsan Yunus dan Rosairil Asrul Mohd Noor pula menyertai JKR bersama-sama Adnan Mohd Zain dan Azhar Abdul Aziz.

Tidak lupa, pasukan ini jugalah yang mengetengahkan bakat penyerang kecil molek yang digelar ‘ayam katik’, Che Hishamuddin Hassan yang kemudiannya turut pernah mewakili Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. 

Pencapaian

Setelah tampil dengan cukup bertenaga, JKR Kelantan menamatkan musim pertama dalam saingan Liga Perdana Dua di tempat keempat – di belakang Kelantan, Melaka dan Kedah.

Apapun mereka boleh berbangga dengan kejayaan sebagai satu daripada dua pasukan yang menewaskan Kelantan yang muncul juara pada tahun tersebut selain membelasah Kedah 5-1 di Stadium Darul Aman.

Pada 2001 pula, JKR Kelantan mencuri tumpuan apabila muncul pasukan kelab pertama dalam sejarah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA pada 2001.

Pasukan bimbingan Abdullah Mohamad bermula dengan kemenangan besar 15-1 secara agregat ke atas Kedah Ansell dalam aksi pusingan pertama di mana Che Hishamuddin menjaringkan tujuh gol.

Mereka kemudiannya menumbangkan juara 1999 Kuala Lumpur (agregat 2-1) pada pusingan kedua dan Negeri Sembilan pada suku akhir (agregat 3-2).

Bagaimanapun hasrat mereka untuk mencipta satu lagi sejarah tidak kesampaian apabila kecundang kepada Sarawak bimbingan Jalil Rambli di separuh akhir.

Setelah memberikan tentangan sengit dengan mengikat mereka 4-4 di Kota Bharu, JKR tumbang di Kuching 0-4 kepada Sarawak yang ketika itu diperkuatkan kembar Ramos dan Ramles Sari.

Kemerosotan prestasi, gaji tidak dibayar, kereta ditarik, latihan dibatalkan

Masalah dalaman terutamanya membabitkan kewangan yang melanda pasukan ini sebenarnya sudah mula kelihatan pada sekitar bulan Jun ketika memasuki pertengahan  saingan liga.

JKR yang berada di kelompok tiga teratas liga pada satu ketika secara tiba-tiba mengalami kemerosotan prestasi yang mendadak menyaksikan mereka akhirnya mengahiri saingan di tempat ketujuh liga.

Lebih teruk, mereka seolah sudah tiada keinginan untuk terus bermain dalam Piala Malaysia yang berlangsung pada September dan ianya ketara mereka sengaja bermain untuk kalah dan sekadar mahu melengkapkan jadual pertandingan apabila tewas kesemua enam perlawanan kepada Perak (0-5, 0-6), Terengganu (0-2, 0-6) dan TNB Kelantan (2-3, 1-3).

Jurulatih, Abdullah Mohamad kemudiannya mendedahkan bahawa pemain dan pegawai pasukan itu tidak menerima gaji dan elaun sejak lima bulan lalu menyebabkan mereka beraksi dalam keadaan tertekan.

“Saya begitu kecewa dengan apa yang berlaku. Kita mempunyai pasukan yang sudah mara ke separuh akhir Piala FA tetapi rebah begitu sahaja. Ini disebabkan emosi dan mental pemain sendiri yang tidak dapat ‘bekerja’ tanpa dibayar gaji dan elaun selama lima bulan.

“Ada juga pemain di mana kereta mereka mahu ditarik dan ada pula yang terpaksa keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskannya.

“Dalam situasi ini sukar untuk memastikan kesemua pemain turun berlatih dengan semangat dan latihan juga terpaksa dibatalkan kerana hanya dua hingga empat pemain sahaja yang datang,” kata Abdullah dalam laporan Utusan Malaysia yang disiarkan pada Oktober 2001.

Dilaporkan kira-kira RM45,000 sebulan diperlukan untuk menjelaskan tunggakan tersebut.

Kontroversi

Banyak kontroversi pernah tercetus membabitkan JKR Kelantan tetapi yang paling diingati sudah tentunya ketika aksi pertembungan Kelantan – JKR Kelantan pada tahun 2000, penjaga gol panas baran Halim Napi telah bertindak menyerang kapten Kelantan Akmal Ahmad Tabrani.

Manakala pada 2001, penyokong pasukan itu bersama beberapa pemain terlibat dalam insiden menyerang pengadil Manjit Singh selepas tamat permainan menentang Telekom Melaka.

Pengadil itu memberikan sepakan penalti kepada Telekom pada minit akhir perlawanan pada ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2. V.Sellathurai menyempurnakan sepakan itu menyaksikan Telekom Melaka memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2.

Pembatalan penyertaan dan pembubaran pasukan

Dek kerana gagal untuk mengatasi kemelut yang dihadapi, Mesyuarat Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Sultan Ahmad Shah pada Disember 2001 membuat keputusan membatalkan penyertaan JKR Kelantan bagi saingan 2002.

Walaupun Naib Presiden FAM ketika itu, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar hanya menyatakan keputusan itu dibuat kerana masalah teknikal dan JKR Kelantan tidak menepati syarat pendaftaran, ianya diyakini disebabkan oleh krisis kewangan kritikal pasukan itu.

Selain JKR Kelantan, turut dibatalkan penyertaan adalah Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) dan Kedah Ansell manakala sembilan pasukan dari Piala FAM pula digantung dua tahun iaitu Kelab Syarikat Air Johor Holdings (SAJH), Terengganu KUMB, Perak Lintau, NS Betaria, Polis Bersatu, KL Petronas, Terengganu Zaaba, JPS Kelantan, Pulau Pinang Intel dan Suruhanjaya Pulau Pinang.

Selepas itu, skuad Liga Perdana Dua JKR Kelantan dibubarkan tetapi pasukan itu masih lagi wujud cuma mereka dianggotai oleh staff JKR dan tidak lagi mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan kompetitif mahupun rasmi.

Rujukan : spotkick23.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.