RM300,000 tidak dapat membeli maruah diri dan lencana di dada Wong Kam Fook

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penjaga gol skuad Olimpik 1972, Wong Kam Fook mendedahkan beliau pernah cuba disogok ratusan ribu ringgit menjelang final Piala Malaysia 1970 antara Perak dengan Kelantan namun menolaknya.

Pada final yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, Perak menang 2-0 dengan Wong Kam Fook bertindak cemerlang menangkis serangan Kelantan.

“Saya ditawarkan RM300,000, satu jumlah yang besar ketika itu, mungkin sama nilai dengan jutaan ringgit sekarang. Saya tidak kenal siapa mereka tapi syak mereka adalah sindiket pertaruhan bola sepak.

“Wang sebanyak itu boleh saya gunakan untuk membeli dua buah rumah yang selesa untuk keluarga saya yang ketika hanya tinggal di rumah papan.

“Malah, jika dibandingkan gaji saya ketika itu hanya RM150 sebulan, memang jauh beza dengan tawaran berkenaan.

“Tapi, saya sentiasa ingat pesanan ibu bapa saya supaya jujur dalam apa saja yang saya lakukan. Malah, seorang saudara yang bekerja dengan sektor kerajaan menasihati saya supaya menjauhi gejala ini jika mahu kekal lama sebagai pemain bola,” dedah Wong Kam Fook ekslusif kepada Labola Malaya.

Beliau memberitahu tidak pernah bercakap mengenai perkara itu kepada sesiapa walaupun sudah hampir 50 tahun berlalu dan bekas penjaga gol berusia 70 tahun itu percaya kejujurannya itulah yang membawanya hingga ke Hong Kong untuk menikmati karier sebagai pemain profesional.

“Saya fikir saya membuat keputusan yang tepat dengan menolak sogokan itu kerana kelab-kelab di Hong Kong hanya membuat tawaran kepada pemain yang mereka percaya bersih. Ternyata selepas tiga tahun mewakili Perak (1970-1972) dan beraksi di Olimpik 1972, ia membuka laluan saya ke Hong Kong.

“Saya menerima gaji sebanyak HK2000, bersamaan kira-kira RM1,000 ketika itu tapi jika dicampur elaun dan bonus, saya dibayar kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. Ia memang jumlah yang besar jika dibandingkan dengan gaji saya di Ipoh,” katanya.

Sesuatu yang turut melegakan Wong Kam Fook ketika itu adalah pemergiannya ke Hong Kong mendapat restu Allahyarham Datuk Harun Idris, pengurus skuad kebangsaan ke Olimpik.

“Datuk Harun adalah tokoh bola sepak negara ketika itu, beliau sangat dihormati. Di kalangan pemain, beliau ibarat seorang bapa.

“Apabila memaklumkan mengenai tawaran bermain di Hong Kong, beliau berkata hanya akan melepaskan saya dengan satu syarat iaitu saya tidak menukar kerakyatan.

“Saya tak pasti adakah beliau serius atau bergurau tapi saya menyakinkan beliau bahawa saya akan kekal sebagai rakyat Malaysia malah memang tidak pernah terlintas pun untuk saya menukar kerakyatan kerana Malaysia adalah tempat kelahiran saya,” ujar Kam Fook.

Wong Kam Fook menikmati karier profesional di Hong Kong daripada 1972 hingga 1984 dengan bermain untuk Seiko FC, Rangers FC, South China AA, dan Caroline Hill FC serta meneruskan kehidupan di sana selepas bersara sebelum kembali ke tanahair pada 2011.

Walaupun sebahagian besar kariernya adalah di Hong Kong namun Kam Fook menganggap penampilannya bersama skuad kebangsaan terutama aksi di Olimpik Munich adalah pencapaian terbaik dan kekal sebagai kenangan manis.

Beliau cemerlang mempertahankan gawang Malaysia selama 55 minit sebelum Jerman Barat meledak tiga jaringan di Stadium Olimpik pada 27 Ogos 1972; kemudiannya mengalami kecederaan ketika menang 3-0 ke atas Amerika Syarikat dan melepaskan empat gol kepada Maghribi di Ingolstadt sehingga digantikan Lim Fung Kee.

“Sasaran awal dalam babak pertama ialah cuba meraih seri dengan Jerman Barat. Pasukan tiba-tiba menukar pelan untuk cuba menyerang dalam babak kedua menyebabkan kita akhirnya bolos tiga gol (jaringan Ronald Worm, Juergen Kalb dan Rudolf Seliger).

“Saya sudah tercedera sehingga hampir hilang tumpuan langsung kepada perlawanan dengan Amerika Syarikat termasuk tidak ingat siapa penjaring gol pasukan kita (Shaharuddin Dollah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusof).

“Datuk Harun masih meletakkan saya sebagai penjaga gol utama menentang Maghribi. Mungkin kerana kurang meyakini kemampuan Fung Kee yang ketika itu tidak sampai 10 kali bermain untuk pasukan negara.

“Saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Malaysia. Ketika itu kita mempunyai ramai pemain berkualiti sehingga jurulatih berani menggugurkan sesiapa sahaja pemain yang melanggar disiplin walaupun dia pemain utama.

“Jalil Che Din sangat tegas dan mengutamakan disiplin. Beliau pernah menggugurkan pemain semata-mata kerana terjumpa daun terup dalam beg pemain itu. Dan beliau memang tidak berkompromi jika mendapati ada pemain terbabit dengan minuman keras,” katanya.

Apa yang mengejutkan, Kam Fook memberitahu bahawa anaknya, Oscar Wong (penjaga gol Melaka United) tidak pernah tahu bahawa dia merupakan penjaga gol terbilang negara suatu masa dulu.

“Saya kehilangan banyak gambar peribadi daripada album keluarga ketika sebagai pemain Perak dan Malaysia. Ramai kenalan yang saya tidak tahu namanya, datang ke rumah ibu saya meminta dan mengambilnya tetapi tidak memulangkannya.

“Jadi Oscar memang tidak tahu latar belakang bola sepak saya sejak kecil sehinggalah apabila dia menyatakan minatnya untuk menceburi bola sepak. Saya sendiri pun tidak pernah ceritakan kepadanya.

“Dia hanya menyiasat daripada macam-macam sumber tentang siapa saya selepas hairan melihat ramai peminat di Stadium Perak, memanggil saya sifu dengan rasa terhormat,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.