Kisah Peter Butler dipecat gara-gara suarakan ketidakpuasan hati terhadap KAFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan mencipta sejarah gemilang pada tahun 2012 apabila Bojan Hodak memimpin pasukan itu menamatkan musim dengan menjulang kejuaraan treble lantas mengukuhkan reputasi selaku kuasa bolasepak tanah air.

Dengan memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, skuad The Red Warriors menjadi pasukan ketiga selepas Selangor dan Kedah, untuk mencatat pencapaian hebat itu dan sehingga ke hari ini, mereka adalah pasukan terakhir yang melakukannya.

Tetapi pada awal 2012 itu, pastinya penyokong Kelantan tidak lupa ‘perang dingin’ yang tercetus antara ketua jurulatih Peter James Butler dan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan sehingga menyebabkan pengendali itu meninggalkan pasukan selepas hanya tiga bulan kembali membimbing mereka.

Peter Butler pada hakikatnya sejak dari awal sudah memendam perasaan berhubung campur tangan pengurusan dalam pemilihan pemain import, dan ia meletus apabila dia terpaksa menurunkan pemain yang langsung tidak dikenalinya – Nwoha Onyekachi – ketika Kelantan tewas 0-2 di tangan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah mereka musim itu.

Selepas perlawanan, Peter Butler berkata kepada pemberita bahawa dia ibarat tiada kuasa penuh sebagai ketua jurulatih apabila sekadar menjadi pak turut dan mengikut sahaja telunjuk KAFA dengan mendedahkan bahawa dia langsung tidak tahu siapa pemain yang keluar dan dibawa masuk, termasuklah membatalkan pendaftaran Mohamed Ghaddar dan Dennis Antwi, kemudiannya membawa masuk Nwoha Onyekachi. Sumber : Suara Sukan Anda

“Saya tak mahu komen, saya tak kenal dia (Nwoha), malam ini pertama kali saya tengok dia bermain selama 30 minit, saya cuma berdiri di sini, bukan saya yang menilai dia, itu bukan tugas saya. Apa yang saya nampak workrate bagus tapi belum ada persefahaman dalam team.

“Kalau dia sudah satu minggu dalam team saya boleh nilai dia, dia masuk secara tiba-tiba, kuasa bukan di tangan saya, apa boleh saya buat? Saya perlu hormat keputusan pengurusan, tapi saya tak tahu apa peranan saya di sini, saya selalu tertanya-tanya, dan sudah penat bertanya soalan sama.

“Saya jurulatih dengan prinsip yang tinggi, pergi mana-mana orang hormat saya, tapi saya perlu adil dan jujur dengan diri saya. Kalau saya tak boleh bekerja sepertimana yang saya mahu, maka saya mesti bertanya beberapa soalan kepada pengurusan,” kata Peter Butler yang kesal terpaksa merombak strategi berdepan Selangor untuk menyesuaikannya dengan kehadiran Nwoha Onyekachi.

“Saya ada tanggungjawab, kontrak saya dua tahun, tapi apa peranan dan kuasa yang diberikan kepada saya, saya akan pulang dan berfikir tentang perkara ini, berbincang dengan baik bersama pengurusan, tapi saya memang kecewa,” tambahnya. ‘

Kenyataan tersebut pantas mendapat perhatian Presiden KAFA ketika itu Tan Sri Annuar Musa yang menganggap Peter Butler sebagai tidak professional dan perlawanan menentang Selangor itu menjadi perlawanan liga terakhir dikendalikannya.

Dia pada mulanya digantung selama tiga minggu dan 29 Februari KAFA menerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Affandi Hamzah membuat kenyataan rasmi khidmatnya sudah ditamatkan berkuatkuasa serta-merta. Walaupun terkejut kontraknya ditamatkan, Peter Butler akur dengan keputusan itu.

Bojan Hodak kemudiannya dilantik sebagai pengganti, dan di bawah bimbingannya Kelantan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim kedua, menjulang Piala FA buat pertama kali dengan menewaskan Sime Darby dan mengakhiri musim dengan menjulang Piala Malaysia menerusi kemenangan 3-2 ke atas ATM.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.