Kisah Quan Hongchan, Penerjun Muda China Yang Wajar Dijadikan Inspirasi

Quan Hongchan
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hakcipta penulisan milik sepenuhnya Labola Malaya, sebarang penerbitan semula sila backlink kepada link asal. Terima kasih.


Bintang terjun berusia 14 tahun dari China, Quan Hongchan mencuri tumpuan dunia pada Khamis apabila memenangi pingat emas 10m platform dengan catatan markah keseluruhan hampir sempurna, dengan rakan senegaranya Chen Yuxi memenangi pingat perak.

Ini menyaksikan Quan Hongchan mencatat sejarah sebagai atlet wanita kedua termuda untuk memenangi pingat emas dalam acara berkenaan, mengikut jejak Fu Mingxia, juga dari China yang melakukannya pada usia 13 tahun di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Dia yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik mengumpul 466.20 mata dari keseluruhan 500 bagi lima terjunan.

Terjunan kedua dan keempatnya mendapat ‘perfect score’ (markah penuh) dari juri, manakala terjunan kelimanya pula enam daripada tujuh juri memberikan mata penuh 10, seorang memberikan mata 9.5 membolehkannya meraih 96.00 mata.

Quan Hongchan pernah mendedahkan kata-kata ibu bapanya supaya tidak gementar, tidak tertekan dan berikan yang terbaik walaupun tidak menang pingat banyak membantunya untuk tampil tenang sepanjang pertandingan.

“Saya tidak rasa saya seorang yang hebat, dan saya juga bukan pelajar cemerlang di sekolah. Saya belajar tak pandai, apabila anda (wartawan) tanya semua soalan ini saya tak tak reti nak jawab, fikiran saya kosong,” kata Quan Hongchan selepas kejayaan bersejarah itu.

Mungkin tidak ramai yang tahu, jika Sukan Olimpik berlangsung seperti dijadualkan pada tahun lalu Quan Hongchan sebenarnya tidak layak untuk beraksi berikutan umurnya baru 13 tahun pada 2020.

Penangguhan selama setahun temasya sukan terbesar dunia itu disebabkan pandemik Covid-19 ternyata membawa rahmat kepada atlet berasal dari sebuah kampung kecil di Zhanjiang, Guandong ini.

Kedua-dua ibu bapanya merupakan petani dan dia didedahkan kepada sukan terjun ketika usia tujuh tahun apabila memasuki Zhanjiang City Sports School.

Melihat semula perjalanannya untuk sampai ke tahap ini, jurulatih pertama atlet itu ketika di sekolah sukan, Chen Huaming memberitahu Quan Hongchan seorang yang sentiasa mendengar kata dan menunjukkan kesungguhan tinggi dalam sesi latihan sambil menganggapnya sebagai seorang genius luar biasa.

Dengan keinginan tinggi dan kerja keras berterusan, Quan Hongchan diserap ke pasukan pelapis China pada 2018 dan ketika kelayakan Olimpik, dia menduduki tempat pertama, 28 mata mengatasi pencabarnya.

Ibunya mengalami masalah kesihatan berikutan kemalangan jalan raya yang memerlukan rawatan sepanjang tahun, dan disebabkan kos perubatan yang cukup tinggi, Quan Hongchan merasakan dia perlu mencari duit dengan cemerlang di dalam sukan.

Dia cukup menyayangi, memahami dan menghargai pengorbanan ibu bapanya, jurulatihnya juga mendedahkan setiap kesukaran dan kesakitan ditempuhi Quan Hongchan ketika sesi latihan, disembunyikan dari pengetahuan mereka.

“Ayahnya bekerja pada hari minggu, ibunya menguruskan rumah, dalam keadaan kesihatan tidak begitu baik, tidak banyak boleh dilakukan ibunya. Setiap kali selepas pertandingan, terutama apabila menang, dia akan terus menghubungi mereka untuk memberitahu berita itu.

“Pada usia 10 tahun, dia sudah ‘mendera’ badan dia, membawa bebanan dan impian yang cukup besar dalam diri demi kasih sayang dan menyediakan kehidupan lebih baik untuk ibu bapanya,” kata Huaming.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.