Kisah Sumareh didaftar dan disingkir Terengganu pada 2012

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mohamadou Sumareh mungkin berstatus naturalisasi, namun pemain sayap Johor Darul Takzim itu perlu diakui telahpun mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang nama berprofil tinggi dalam arena bolasepak tanah air pada hari ini.

Perjalanan karier Sumareh diketahui ramai, dia diperkenalkan ke Liga Malaysia oleh PDRM FA pada 2013 dan membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier 2014 seterusnya layak ke Liga Super.

Dia kemudian telah bersama Perlis selama semusim pada 2016 sebelum bermain dengan Pahang selama empat musim dari 2017 – 2020.

Itu yang diketahui ramai, apa yang mungkin ramai tidak tahu. Dalam wikipedia pun tidak dinyatakan perkara ini, malah Sumareh sendiri tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Pasukan pertama yang mendaftarkan Mohamadou Sumareh dalam Liga Malaysia sebenarnya adalah Terengganu, pada penghujung musim 2011 bagi menghadapi Liga Super 2012.

Terengganu yang mengesan kelibat Sumareh ketika bermain bersama pasukan Liga Kuala Lumpur, mendaftarkannya bersama-sama seorang lagi pemain import iaitu Nunez Machado pada tarikh akhir pendaftaran pemain 8 Disember 2011.

Malang buat Terengganu, selepas beberapa perlawanan pra-musim diharungi, Sumareh tidak menyinar sepertimana diharapkan manakala Nunez pula didapati tidak memenuhi kriteria ditetapkan FAM dan pendaftarannya dibatalkan.

Disebabkan Terengganu bersama-sama Kelantan akan bermain dalam saingan Piala AFC 2012, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import kepada kedua-dua pasukan ini sehingga 9 Januari 2012 (iaitu sehari sebelum musim baru bermula).

Terengganu menggunakan kesempatan ini untuk menggugurkan Sumareh dengan memberi alasan dia berdepan masalah visa, dalam masa sama turut menggugurkan Nunez.

Pemain yang didaftarkan sebagai pengganti adalah Francis Forkey Doe dan Erison da Silva Baiano.

Selepas dua pemain ini ditandatangani, berlaku isu lain apabila FAM memberitahu berlaku kesilapan dalam surat yang mereka edarkan, dan menyatakan lanjutan tarikh pendaftaran pemain import adalah untuk Piala AFC sahaja, bukannya Liga Malaysia.

Ini bermakna Terengganu tidak boleh guna Forkey Doe dan Erison di Liga Malaysia. Dengan Mohamadou Sumareh sudah digugur, siapa yang Terengganu ada, adakah ini salah mereka?

Apa lagi, mengamuklah Menteri Besar Terengganu ketika itu, Dato’ Ahmad Said apatah lagi kerajaan negeri adalah pembiaya utama kewangan pasukan Terengganu.

Beliau memberikan tiga pilihan kepada FAM; (1) Membenarkan kedua-dua import baru beraksi di Liga Malaysia; (2) FAM membayar gaji Forkey Doe dan Erison kerana kesilapan berpunca daripada mereka; (3) Terengganu tarik diri dari saingan Liga Malaysia.

FAM yang mengadakan Mesyuarat tergempar pada 13 Januari, akhirnya bersetuju membenarkan dua pemain itu beraksi.

Isu Sumareh, Nunez, Forkey Doe, Erison dan Terengganu ini antara kontroversi paling panas pada permulaan musim 2012 dan penulis sendiri yang ketika itu masih lagi wartawan penyiaran telah membuat liputan mengenainya.

Foto : PDRM FA, AidirPhotography

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.