Kisah Westerveld Disingkirkan Liverpool Hanya Tiga Bulan Selepas Menang Treble

Keeper Liverpool
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sander Westerveld tidak menyangka tiga bulan selepas dia tampil sebagai salah seorang watak utama menghadiahkan treble bersejarah kepada Liverpool pada 2001, dia akan disingkirkan daripada pasukan itu.

Dia menyifatkan pengakhiran kariernya di Liverpool sebagai begitu drastik, kejam dan langsung tidak diduga.

Westerveld telah membuat lebih 100 penampilan dalam jersi the reds sejak menyertai pasukan dua musim sebelum itu sehinggalah kejayaan merangkul trofi Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA pada penghujung musim 2000/2001.

Tetapi dia mendapati dirinya tidak lagi diperlukan apabila saingan musim baru 2001/2002 bermula, tatkala Gerard Houllier mendapatkan dua penjaga gol baru Jerzy Dudek dan Chris Kirkland pada hari terakhir pintu perpindahan musim tersebut.

“Saya tahu apa yang berlaku, tetapi sehingga kini saya tidak dapat memahaminya. Sejak hari pertama (musim baru) Houllier memberitahu kepada media bahawa saya perlu lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan bolasepak inggeris.

“Nampak sangat itu adalah kritikan terbuka sepertimana dialami penjaga gol Liverpool yang lain, dan meletakkan mereka dalam tekanan tinggi.

“Saya pula tidak pernah sekalipun rasa tertekan, tapi saya boleh lihat dan dengar kritikan. Saya bermula dengan baik pada musim pertama, ketika umur saya 24 tahun, dan lazimnya penjaga gol akan bertambah baik pada setiap tahun. Pada musim pertama kita mencatat rekod defensif terbaik di EPL dan pada musim kedua kita memenangi treble.

“Saya menunjukkan peningkatan, tetapi, pada hari pertama pra-musim itu sendiri sudah kedengaran Liverpool mahu membawa masuk penjaga gol baru.

“Ianya normal, saya tidaklah gementar atau takut kehilangan tempat kerana saya tahu saya sedang dalam prestasi yang baik.

“Saya melakukan kesilapan ketika menentang Bolton pada perlawanan kedua liga, menyebabkan kami kalah 1-2. Ketika itulah spekulasi kemasukan Dudek bertambah kencang. Selepas perlawanan itu, rehat minggu antarabangsa dan saya telah bersama pasukan Belanda, ketika itulah Liverpool membeli penjaga gol baru, bukan seorang tapi dua. Ia tamparan besar buat saya.

“Kalau mereka bawa masuk seorang, katalah Dudek, semestinya saya kekal dan bersaing mempertahankan posisi saya. Tapi saya patah hati bila mereka beli dua penjaga gol malah tidak membawa saya bersama setidak-tidaknya sebagai penjaga gol nombor tiga untuk perlawanan Liga Juara Eropah di tempat lawan.

“Kiranya dari nombor satu saya sudah jatuh ke nombor empat, ia umpama mimpi ngeri, tidak ada apa yang boleh saya buat. Saya tidak diberi peluang untuk kembali ke dalam skuad selepas kekalahan kepada Bolton itu, dan mereka memberi satu gambaran yang jelas saya tidak diperlukan.

“Bagi saya ia tindakan yang sangat kejam, tapi apa boleh saya buat. Pada hakikatnya saya tidak pernah terfikir akan meninggalkan Liverpool dengan cara seperti ini, saya seorang yang berkeyakinan tinggi, saya tahu apa yang saya buat.

“Ya saya lakukan kesilapan, tetapi semua penjaga gol pun melakukan kesilapan, untuk dihukum sedemikian rupa kerana satu kesilapan membuatkan saya masih tidak faham, bukannya saya tidak pernah menyumbang, saya adalah kekuatan mereka, nombor satu untuk dua tahun, hadiahkan mereka trofi, tapi sayang perkara seperti ini berlaku dalam bolasepak.”

Sebagai rekod, Sander Westerweld menyertai Liverpool pada musim 1999/2000 sebagai pengganti kepada David James dengan bayaran perpindahan £4 juta, dan dijual kepada Real Sociedad pada Disember 2001.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.