Sri Pahang akhirnya meraih kemenangan yang sekian lama dinanti dengan menewaskan Selangor dan menggembirakan penyokong setia mereka, terima kasih kepada Dollah Salleh.
Begitupun, Dollah Salleh dengan merendah diri menyifatkan tiada apa yang istimewa dengan kehadiran semula beliau sebaliknya kemenangan yang diraih adalah kerana Sri Pahang diiringi tuah.
“Pada perlawanan ini, Sri Pahang memiliki tuah kerana kita sebenarnya bermain biasa sahaja tidak seperti ketika aksi separuh masa pertama ketika suku akhir Piala FA menentang Penang FC.
“Namun, saya bersyukur kerana selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, Sri Pahang kembali mengutip tiga mata. Saya puji kerana pemain bermain dengan mempamerkan disiplin tinggi bukan sahaja ketika bertahan, malah saling bekerjasama membantu jentera serangan.
“Pada masa sama, kita tahu bahawa kekuatan Selangor di bahagian tengah dan pemain berjaya menyekat lawan seperti yang dirancangkan,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Darulmakmur itu, Sri Pahang meledak dua jaringan di separuh masa pertama menerusi penyerang import Steven Rodriguez dan juga Malik Mat Ariff.
Selangor beberapa kali cuba mendapatkan jaringan dengan memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan tuan rumah, namun tidak berhasil.
Sementara itu, pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner pula menyifatkan pasukannya tewas kerana kesilapan sendiri.
“Namun, kesilapan yang dilakukan untuk gol pertama Sri Pahang tidak sepatutnya berlaku dan diikuti gol kedua selepas itu.
“Sekiranya kami mampu melakukan jaringan, keputusan perlawanan akan berubah tetapi ia tidak menjadi.
“Selangor berusaha untuk bermain lebih baik pada babak kedua namun jaringan tidak berjaya dilakukan.
“Saya juga memberikan keyakinan kepada semua pemain pada babak kedua walaupun kami ketinggalan untuk bangkit tetapi akur tewas pada perlawanan ini,” katanya.