Malaysian Football League (MFL) pada minggu lalu memperkenalkan struktur baru Liga Malaysia bermula 2023 yang menjadi buah mulut penyokong bolasepak tanah air.
Selain pertambahan kepada 18 pasukan, perkara lebih menjadi tumpuan adalah setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan sembilan pemain import, dan menurunkan lima daripadanya dalam satu-satu perlawanan.
Pelbagai andaian dibuat, ada yang kata ia dibuat secara terburu-buru, hanya memberi kelebihan kepada kelab besar yang berduit dan bakal menjahanamkan kelab kecil, meningkatkan kos operasi serta pelbagai tanggapan lain.
Malah tidak kurang ada andaian bahawa semua pemilik kelab ‘terpaksa’ bersetuju demi memenuhi keinginan pasukan tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa sebelum keputusan untuk melakukan penstrukturan liga ini dibuat, pihaknya sudah pun membuat kajian termasuk merujuk kepada banyak pihak termasuk agensi dari antarabangsa.
Ini bagi mendapat maklumat dan idea bagaimana mereka boleh menstrukturkan Liga Malaysia mengikut acuan sendiri.
Malah, pihaknya turut telah bertemu dengan setiap CEO kelab bola sepak bagi mendapatkan pandangan, sokongan dan kebimbangan pasukan.
“Kita tahu bola sepak Malaysia ini terbentuk daripada beberapa struktur kelab, ada kelab besar, ada kelab kecil, ada kelab sederhana. Setiap kelab mempunyai objektif yang berlainan seperti ada yang mahu mendominasi liga tempatan, ada yang mahu takluk Asia atau baru hendak bentuk semula.
“Dengan semua rumusan tersebut, pada hari Rabu lalu satu mesyuarat rakan kongsi luar biasa telah diadakan untuk penstrukturan ini diketengahkan pada mesyuarat dan diluluskan,” kata Stuart Ramalingam dalam satu temubual bersama Harimau Malaya.
Stuart Ramalingam turut menyangkal dakwaan segelintir peminat kononnya penstrukturan Liga Malaysia yang akan dilakukan pada musim hadapan adalah untuk menyelamatkan kelab besar.
“Apa yang saya boleh cakap tiada konspirasi teori dengan penstrukturan liga ini. Penstrukturan liga ini dibuat dari sudut peminat generasi baru yang mahukan perubahan.
Perubahan ini perlu dilakukan mengikut arus semasa yang mana menyaksikan peminat generasi kini mempunyai tabiat atau budaya yang berbeza untuk consume kandungan. Sekarang ini peminat tak perlu lagi ke stadium, sebaliknya mereka boleh tonton perlawanan bola sepak di rumah sendiri.
“Bola sepak perlu kekal kompetitif untuk menarik perhatian peminat sekaligus dapat menarik pihak penyiaran dan juga penaja,” ujarnya.
Tambahnya lagi, MFL sentiasa bersikap terbuka terhadap segala kritikan terutamanya daripada peminat lama.
“Saya terbuka dengan kritikan daripada peminat lama kerana mereka ini mempunyai pengalaman mengenai naik turun pasukan yang disokong, manakala peminat generasi muda pula tidak tahu sejarah bola sepak naik turun ini, jadi dengan apa yang dikongsi oleh penyokong kita perlu terbuka.
Kita perlu lihat apa yang mereka ingin sampaikan melalui mesej itu samada mereka risau dengan kelangsungan pasukan dari segi kewangan, kerisauan pertambahan perlawanan dan lain-lain yang kita sudah boleh jangka. Oleh itu saya terima pandangan daripada kedua-dua pihak sebagai informasi yang diperlukan pihak MFL, tetapi itu tidak bermakna ada betul atau salah.”