“Kita dapat penalti kerana berlaku kekasaran, ia sebahagian daripada permainan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Benjamin Mora memberi kredit kepada usaha dan kerja keras ditunjukkan barisan pemainnya untuk mendapatkan gol tunggal ketika Johor Darul Takzim menewaskan Kedah Darul Aman 1-0 dalam aksi ke-12 Liga Super pada Selasa.

Sambil menyifatkan KDA sebagai antara lawan paling sukar dihadapi JDT musim ini, pengendali dari Mexico itu gembira untuk pulang dengan tiga mata meskipun gol yang dicari hanya hadir pada minit akhir, itupun menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson Da Silva.

“Kedah banyak meningkat dari segi gaya permainan, strategi (berbanding pertemuan pertama), itu saya kena akui.

“Tetapi pemain-pemain saya sabar dan tenang, main dengan tersusun. Memang separuh masa pertama kita tidak banyak cipta peluang, agak buntu malah bernasib baik Kedah gagal memanfaatkan dua peluang menjaringkan gol, satu terkena tiang dan satu lagi palang.

“Tetapi separuh masa kedua kita tampil berbeza, lebih banyak memegang penguasaan permainan.¬†Pertukaran yang dibuat juga membawa impak, kemasukan Arif (Aiman), Sumareh serta Syamer Kutty di tengah selain Adam (Nor Azlin) yang masuk menggantikan Mauricio yang cedera semuanya bermain cukup baik.

“Pemain telah melakukan apa yang patut mereka lakukan, ya mungkin ia bukan permainan cantik, tapi lebih kepada permainan taktikal. Walaupun menang satu gol, menang tetap menang,” ujar Benjamin Mora.

Gol tunggal JDT pada perlawanan di Stadium Darul Aman itu dijaringkan Bergson Da Silva yang menyempurnakan penalti pada masa kecederaan.

Penalti dihadiahkan pengadil Razlan Jofri Ali selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan Renan Alves, dan ini adalah kali kedua skuad harimau selatan mendapat penalti pada masa kecederaan (sebelum ini ketika menentang Perak).

Ia sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif kepada JDT seolah-olah pengadil cuba memihak kepada mereka dalam situasi tertentu, namun ini jawapan Benjamin Mora.

“Ia (penalti) diberi kerana berlaku kekasaran, pengadil membuat keputusan melihat insiden yang berlaku. Kadang kala kami tidak mendapat penalti untuk tempoh panjang, kadang kala pasukan lawan mendapat penalti, ia adalah sebahagian daripada permainan,” tambah Benjamin Mora.

Dengan kemenangan ini, JDT kekal menerajui Liga Super dengan 27 mata, tiga mata mengatasi Terengganu FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.