“Kita dengan Vietnam sama level jer, sepatutnya takde masalah untuk menang” – Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengendali pasukan kebangsaan, Dollah Salleh berharap Harimau Malaya tidak lagi mengulangi kesilapan sama yang dilakukan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan menentang Vietnam pada 11 Jun ini.

Skuad negara wajib menang perlawanan itu jika mahu menghidupkan peluang untuk mara secara merit ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Begitupun ia dilihat sebagai misi sukar mengambil kira Vietnam kendalian Park Hang Seo ketika ini di kemuncak prestasi mereka, malah belum tewas dalam enam perlawanan Kumpulan G yang telah diharungi. Terbaru mereka membelasah Indonesia 4-0 untuk terus unggul menerajui kumpulan.

Malah sejak dikendalikan Park Hang Seo, skuad Vietnam tidak pernah tewas kepada lawan daripada Asia Tenggara.

Bagi Dollah Salleh, ia tidak sepatutnya menjadi alasan kerana menurutnya dalam bolasepak tiada apa yang mustahil.

“Vietnam ini kalau dilihat sama level dengan pasukan negara. Jadi pada perlawanan itu nanti, kita tidak seharusnya kalah tetapi kita boleh mencipta kejutan dengan meraih kemenangan.

“Pasukan negara juga tidak boleh terus beri macam-macam alasan seperti kurang perlawanan selepas dua aksi persahabatan dan perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sepatutnya sekarang mereka sudah bersedia sepenuhnya.

“Saya mengharapkan corak permainan kita lebih baik kerana jika mahu meraih keputusan yang positif, setiap pemain perlu memberikan segala-galanya di atas padang,” ujar Dollah Salleh dipetik daripada Sukan Sinar.

Pengendali Sri Pahang FC itu juga berpendapat kekuatan utama pasukan Vietnam sekarang adalah dari segi keserasian selepas kesemua pemain itu sudah bersama hampir enam tahun.

“Kalau tak silap saya, pasukan Vietnam dibentuk lama untuk bermain pada Piala Dunia Remaja. Mereka sudah bersama sejak lima hingga enam tahun. Jadi agak berbeza dengan pasukan yang kita menang pada tahun 2014 itu.

“Yang penting sekarang pasukan negara kena melakukan perubahan dalam corak permainan selain tunjukkan persefahaman yang bagus. Saya percaya Malaysia boleh bangkit untuk mencari keputusan positif menentnang Vietnam,” ujar Dollah Salleh.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menang ke atas Vietnam dalam lima pertemuan terakhir sejak separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014. Ketika itu skuad negara kendalian Dollah Salleh menang 4-2 dan layak ke perlawanan akhir.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu buat kali terakhir pada dua tahun lalu dalam aksi pusingan kelayakan, Harimau Malaya kecundang 0-1.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.