“Kita Johor, jangan ikut budaya tuding jari salahkan orang lain,” – Tunku Ismail

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

11 perlawanan sudah diharungi, menandakan tamatnya pusingan pertama Liga Super dengan Johor Darul Takzim (JDT) sedang menerajui carta 12 pasukan dengan 24 mata, hanya satu mata mengatasi Kedah Darul Aman.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, perlu diakui bukan mudah untuk menyaksikan beza mata antara pasukan tangga pertama dan kedua begitu rapat.

Selalunya pada waktu seperti ini JDT sudah jauh meninggalkan pencabar mereka.

Sebagai rekod, skuad harimau selatan tidak pernah mencicirkan lebih dari tujuh mata di pusingan pertama sejak tahun 2015.

Namun musim ini, mereka sudah cicirkan sembilan mata menerusi satu kekalahan dan tiga keputusan seri, termasuklah ketika menentang KL City Jumaat lalu.

Ini sekaligus menimbulkan tanggapan bahawa skuad Benjamin Mora itu sedang mengalami kemerosotan prestasi – ada yang menyalahkan pengendali dari Mexico itu sebagai sudah kering idea dan ada juga yang menyalahkan pemain kerana bermain tidak menepati standard.

Malah ada yang meramalkan JDT sedang menuju kejatuhan dan dominasi sekian lama mereka mungkin akan dinoktahkan.

Begitupun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memilih untuk tidak melatah, dan terus memberikan sokongan tanpa menuding jari kepada sesiapa.

“Ini bukan masa untuk salahkan sesiapa, ini adalah mas untuk kita berjuang sehingga ke akhir bersama-sama. Kalah menang kita lawan. Kita keluarga JDT, susah senang bersama bukan bersama time senang sahaja.

“Awak sakit hati? Bayangkan orang yang letak duit berjuta-juta. Tetapi saya berjanji susah senang, kalah menang ataupun tiada piala, saya bersama kelab JDT ini.

Never leave a man behind, kita Johor, jangan terikut-ikut budaya tuding jari. Apa-apa berlaku, saya bertanggungjawab,” komen Tunku Ismail di salah satu posting instagram rasmi pasukan itu.

Selain KL City, JDT yang merupakan juara Liga Super tujuh musim berturut-turut turut seri menentang Selangor (1-1) dan Perak (2-2) sebelum ini manakala kekalahan pula adalah di tangan Terengganu FC (0-1).

Ia sekaligus menjadi kekalahan pertama mereka dalam saingan Liga Super sejak Julai 2019, dan kekalahan pertama di Stadium Sultan Ibrahim.

Foto kredit : Instagram Tunku Ismail

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.