“Kita menang bukan kerana saya seorang” – Safawi Rasid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Harimau Malaya, tidak mahu penyokong mengangkat dia seorang sebagai wira pasukan selepas kejayaan menewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada awal pagi Rabu.

Jaringan tunggal bintang Johor Darul Takzim itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia, sekaligus membantu menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga dengan 12 mata.

Lebih penting, Harimau Malaya juga mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

“Pertama sekali tahniah kepada pasukan yang beri komitmen terbaik dan ‘superb’ malam ini (awal pagi tadi).

“Bukan mudah lawan Thailand, tapi saya rasa dari pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain hari ini kita berikan all out untuk meraih kemenangan dan tiga mata bagi di bawa balik ke Malaysia.

“Bagi saya bukan saya pemain terbaik perlawanan, tetapi keseluruhan pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Al-Maktoum itu, tempat Safawi Rasid dalam kesebelasan utama diambil Arif Aiman Hanapi dan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia sebanyak dua kali itu hanya masuk ketika permulaan separuh masa kedua.

Dia memenangi penalti selepas dijatuhkan Ernesto Amantegui Phumibha dan meledak gol ketiganya dalam pusingan kelayakan – yang pertama di pentas antarabangsa selepas 19 bulan.

Safawi Rasid hampir menambah jaringan buat skuad negara beberapa minit kemudian apabila berjaya lolos ke dalam kotak penalti namun lambat membuat keputusan membolehkan bola sempat dikeluarkan terlebih dahulu oleh pertahanan Thailand.

Prestasi pemain yang pernah berkelana ke Portugal itu sebelum ini hebat dikritik selepas gagal menampilkan permainan memukau sama seperti dua tahun lalu, malah sangat ketara ada sesuatu yang hilang di dalam sentuhannya.

Sama ada prestasi dia jatuh selepas dia pulang dari Portugal, atau dia belum kembali ke tahap terbaik kerana mengalami kecederaan lutut selama beberapa minggu sebelum menyertai kem kebangsaan, atau mungkin ada perkara lain yang menganggu, kekal menjadi persoalan.

Foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.