“Kita Pun Tahu Peraturan, Tapi Kena Fahamlah” – Tan Cheng Hoe Balas Balik Kritikan Park Hang-Seo

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kritikan dilemparkan jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo berhubung jumlah pemain yang dibawa Malaysia ke Piala AFF 2020 dibalas oleh Tan Cheng Hoe.

Park Hang-Seo sebelum ini berkata ia tidak adil jika AFF membenarkan Malaysia untuk membawa masuk pemain baru sebagai ganti kepada pemain yang positif Covid dan juga mengalami kecederaan selepas pertandingan bermula.

Dia menegaskan semua pasukan dibenarkan membawa 30 pemain justeru ianya adalah kesilapan Malaysia sendiri yang membawa hanya 24 pemain seolah tidak memahami peraturan pertandingan.

Berita Berkaitan : Tak Cukup Pemain? Siapa Suruh Bawa Hanya 24 Pemain, Sendiri Tanggunglah! – Park Hang Seo

Cheng Hoe berkata dalam situasi ini, pasukan yang bertanding perlu memahami dan bertimbang rasa kerana apa yang berlaku tidak dijangka sama sekali, dalam masa sama menegaskan Malaysia bukannya tak faham peraturan pertandingan apatah lagi permohonan pertukaran dibuat hanya untuk posisi penjaga gol.

“Kita faham peraturan pertandingan ini, tetapi kita juga kena faham kadang-kadang berlaku kejadian luar jangka dalam situasi Covid-19 ini. Saya pasti pasukan lain juga mungkin menghadapi masalah sama, dan kita pun faham situasi itu.

“Jadi pasukan perlukan fleksibiliti untuk menukar pemain, malah peraturan membenarkan (pertukaran) bagi posisi penjaga gol, saya fikir tiada masalah, kerana kita bukannya meminta tukar pemain posisi lain. Kecuali peraturan kata penjaga gol pun tak boleh kita kena harungi jugalah,” katanya.

Kem Malaysia bagai ditimpa musibah apabila dua pemain Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid tersisih kerana positif Covid sebelum aksi menentang Kemboja. Jumlah itu meningkat apabila Junior Eldstal mengalami kecederaan ketika sesi latihan, dan selepas itu dua lagi pemain iaitu Akhyar Rashid dan Quentin Cheng pula positif Covid.

Dengan Dion Cools belum melapor diri kerana masih belum dilepaskan FC Midtjylland, Harimau Malaya hanya mempunyai 18 pemain yang cergas membuatkan FAM membuat rayuan untuk membawa masuk penjaga gol gantian.

Rata-rata penyokong dan pemerhati menyifatkan situasi tidak akan seburuk ini jika awal-awal lagi FAM menyenaraikan 30 pemain sepertimana dibenarkan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.